Meskipun terdapat pelbagai
tinjauan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, terutama gabungan manakah
yang akan membentuk kerajaan namun KEADILAN menjangkakan parti itu akan menang
di 6 kerusi DUN pada 20 November nanti.
Menurut Pengerusi Majlis
Pimpinan Negeri KEADILAN Melaka, Datuk Halim Bachik, jangkaan tersebut
berdasarkan faktor penolakan rakyat terhadap PRN yang dipaksakan ke atas
mereka.
"Pada pihak KEADILAN kita
berkeyakinan minima kita akan dapat antara 6 - 7 kerusi DUN
"Bila saya turun ke DUN
Sungai Rambai misalnya (kubu Umno), penerimaan rakyat di situ faham (pergolakan
politik). Rakyat tak mahu PRN tetapi pilihan raya ini dipaksa oleh sebab
berlaku ketidak sefahaman antara wakil rakyat dalam kerajaan
"Di peringkat KEADILAN
kita jangka 6 kerusi, di peringkat Pakatan Harapan (PH) kita sasarkan 18
kerusi, berlandaskan penerimaan rakyat walaupun kita dikongkong SOP yang ketat.
Tetapi rakyat faham dan bijak memilih dalam PRN ini," katanya dalam sesi
soal balas wartawan pada sidang media, tengah hari tadi.
Mengenai persoalan kemungkinan
kemasukan Datuk Seri Idris Harun sebagai calon Pakatan Harapan akan menjejaskan
undi dari penyokong setia, Halim berpendapat sebaliknya.
Katanya, beliau mendapati isu
Idris tidak lagi dibangkitkan oleh penyokong PH, malah memberi kelebihan di
kawasan kubu Umno.
"Kemasukan Idris jejaskan
potensi PH untuk menang? Pada saya tidak benar. Apabila saya turun di bawah,
kawasan DUN Asahan, sebenarnya sokongan rakyat itu ada kerana Idris ini mantan
Ketua Menteri dan ada sumbangannya yang baik semasa dia menjawat Ketua Menteri.
"Pada saya Idris tidak menjadi isu, dia menjadi penarik kepada pengundi Umno untuk undi PH," katanya lagi.