PN, Muhyiddin terus menerus mencabul perlembagaan, kata peguam

 


PN, Muhyiddin terus menerus mencabul perlembagaan, kata peguam


Merujuk kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi, adalah dirumuskan bahawa beliau telah mengakui hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Kenyataan Muhyiddin bahawa beliau tidak perlu meletak jawatan kerana tiada Ahli Parlimen lain yang mempunyai sokongan majoriti adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa PM perlu meletakkan jawatan sekiranya hilang keyakinan majoriti Ahli Parlimen. Peruntukan ini tidak menyebut tentang kehilangan jawatan PM bergantung kepada sokongan majoriti Ahli Parlimen yang lain. Ini adalah kerana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh melantik Ahli Parlimen lain sebagai PM yang pada hemat YDPA mempunyai keyakinan majoriti Ahli Parlimen sepertimana Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, ketiadaaan kerajaan untuk berfungsi menguruskan negara tidak timbul kerana jentera kerajaan masih berjalan seperti biasa dan PM baharu pasti dilantik dalam tempoh terdekat. Perkara ini berlaku ketika Langkah Sheraton pada tahun 2020 dan juga insiden rampasan kuasa di Perak pada tahun 2009 tanpa sebarang masalah dan kacau ganggu kepada pentadbiran kerajaan.

Muhyiddin dan kabinet Perikatan Nasional (PN) tidak boleh berterusan mencabuli perlembagaan. Keabsahan dan legitimasi sebagai PM sudah hilang dan hormatilah keluhuran perlembagaan dan junjunglah kedaulatan undang-undang sepertimana kehendak Rukun Negara.

Muhyidin letak jawatan bukan lagi pilihan. Pentadbiran Muhyiddin dan PN ternyata gagal menguruskan pandemik Covid-19 dengan baik dan gagal menguruskan ekonomi negara dengan berkesan. Rakyat tidak lagi bersama PN #kerajaangagal.

FAIZ FADZIL

No comments: