PM FACEBOOK BANYAK RETENYE...MACAI JE BODOW BOOSKU

 

Mahkamah Tinggi tetapkan 8 Nov keputusan lucut hak barangan milik Najib





Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, mahkamah memerlukan kira-kira dua bulan untuk membuat keputusan dan menyediakan penghakiman bertulis sebelum 8 November.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 8 November sama ada membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak pelbagai barangan yang dirampas daripada Najib Razak serta beberapa individu dan syarikat selepas 9 Mei 2018.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menghantar penghujahan bertulis untuk menyokong permohonan itu.

Harris berkata, mereka akan bergantung pada penghujahan bertulis dan tidak akan membuat penghujahan lisan di mahkamah.

“Saya percaya semua telah bersetuju untuk mahkamah menetapkan tarikh bagi keputusan itu,” katanya.

Hakim secara berseloroh membalas : “Ia akan menjadi minggu yang baik”.

Zaini berkata, mahkamah memerlukan kira-kira dua bulan untuk membuat keputusan dan menyediakan penghakiman bertulis sebelum 8 November.

Kerajaan memohon untuk melucut hak beratus-ratus barangan yang dirampas daripada Najib dan 17 individu serta syarikat pada 2018, dengan mendakwa barangan itu diperolehi daripada aktiviti yang melanggar undang-undang.

Antara individu yang dinamakan dalam permohonan pelucutan hak itu adalah Rosmah Mansor, Riza Aziz, anak-anak Najib, bekas pegawai bank Goldman Sachs dan ibu Low Taek Jhor, Goh Gaik Ewe.

Barangan itu termasuk beg tangan mewah, wang tunai dalam pelbagai mata wang asing, jam tangan, kasut dan 27 buah kenderaan.

Selain itu, wang sebanyak RM18 juta dalam beberapa akaun simpanan dan sebuah banglo milik keluarga Low di Tanjung Bungah, Pulau Pinang turut dirampas.

Sementara itu, tiga individu yang dikaitkan dengan Low – Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun – dianggap sebagai orang yang melarikan diri di bawah Seksyen 63 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan atau AMLA dan pendakwaan boleh mengeluarkan notis pemberitahuan tuntutan mahkamah.

Peguam Syazwani Mohd Zawawi, Syahirah Hanapiah mewakili Najib, dan Azamuddin Aziz, Iskandar Shah Ibrahim pula mewakili Rosmah dan anaknya, Riza, Nooryana dan Norashman.

M Puravalen dan Tan Hock Chuan masing-masing mewakili Goh dan Ng.