Ismail Sabri perlu batalkan dasar kabotaj

 

Oleh B. Suffian

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa membatalkan dasar kabotaj Datuk Seri Wee Ka Siong yang tidak berasas sehingga telah menjejaskan pelaburan digital antara RM12 hingga 15 bilion. 

Mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sebaliknya pengecualian kabotaj perlu dikembalikan. 

Langkah ini jelas Guan Eng, adalah bagi menjamin masa depan digital negara dan menarik syarikat digital berteknologi tinggi seperti Facebook dan Google untuk tidak sepenuhnya meminggirkan negara tetapi untuk kembali ke Malaysia.

“Ismail Sabri perlu menunjukkan bahawa dia berbeza dengan kerajaan Mahiaddin Md. Yassin yang gagal dalam mengutamakan kepentingan dan masa depan digital negara. 

“(Ini) berbanding kepentingan politik dan yang syarikat swasta yang mementingkan diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Malaysia telah terlepas projek infrastruktur kabel bawah laut utama yang dijalankan oleh Facebook dan Google.

Beliau berkata, ini kerana penolakan Menteri Pengangkutan Perikatan Nasional (PN) iaitu Ka Siong sebelum ini untuk terus memberikan pengecualian kabotaj kepada mereka.

Tambahnya, Ka Siong telah menolak pada 13 November 2020 untuk meneruskan dasar kabotaj Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum itu yang memberikan pengecualian kepada kapal asing yang melakukan kerja pembaikan kabel dasar laut bagi menggalakkan pelaburan digital asing. 

“Kedegilan Ka Siong dalam meneruskan dasar kabotaj yang gagal telah menyebabkan Facebook dan Google meminggirkan Malaysia, apabila kebimbangan mereka mengenai kelewatan sehingga 27 hari untuk pembaikan kabel kapal selam diabaikan,” katanya. 

No comments: