Ahli Parlimen kecam rancangan Nazri ke luar negara untuk daftar anak sekolah

 

Fahmi Fadzil and Charles Santiago say Nazri Aziz is more needed in his semi-urban and rural constituency of Padang Rengas in Perak.
Fahmi Fadzil dan Charles Santiago berkata, Nazri Aziz lebih diperlukan pengundinya di pinggir dan luar bandar Parlimen Padang Rengas di Perak.

PETALING JAYA: Dua Ahli Parlimen mengecam Nazri Aziz daripada Umno atas keputusannya ke luar negara bagi mendaftarkan persekolahan anaknya, terutama ketika rakyat masih bergelut untuk terus bertahan dalam gelombang keempat pandemik Covid-19.

Mereka berkata, Nazri sepatutnya menunjukkan semangat rakyat Malaysia sejati, dengan membatalkan perjalanan tidak penting itu dan meluangkan masa bersama pengundi miskin di Parlimen Padang Rengas, kawasan pinggir dan luar bandar di Perak.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil daripada PKR menyifatkan Nazri “tidak sensitif” kerana merancang untuk mendaftarkan anaknya bersekolah di luar negara, sedangkan begitu ramai kanak-kanak di Malaysia, terutama di kawasan luar bandar, tidak dapat mengikuti kelas dalam talian yang asas.

“Waktu perjalanan beliau, ketika gelombang keempat pandemik yang mencatatkan rekod kadar kematian harian, jumlah kes baharu yang tinggi dengan sistem kesihatan awam semakin terbeban, adalah sombong dan tidak sensitif,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, Nazri dilaporkan berkata, beliau akan ke luar negara untuk membantu mendaftarkan persekolahan anaknya, namun beliau akan kembali sebelum Parlimen bersidang.

Bekas menteri itu berkata, beliau sudah mendapatkan visa yang diperlukan daripada saluran ditetapkan dan diberikan pelepasan oleh Jabatan Imigresen. Tetapi, beliau tidak memberikan tarikh sebenar akan kembali dan memberitahu FMT akan pulang sebelum Parlimen bersidang.

“Tiada apa yang salah. Saya tahu seseorang dari Umno cuba ke luar negara, tetapi tidak dibenarkan kerana mempunyai kes mahkamah untuk diselesaikan. Tetapi saya diberikan pelepasan,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai anaknya atau sekolah terbabit.

Fahmi yang juga pengarah komunikasi PKR berkata, sekarang bukan masanya untuk rakyat ke luar negara bagi perjalanan tidak penting, “khasnya bukan untuk Ahli Parlimen seperti beliau”.

“Sekarang masa untuk berkhidmat. Perjalanannya ke luar negara juga memberi isyarat beliau menikmati kemewahan sedangkan terlalu ramai rakyat – yang mungkin berada di kawasan Parlimennya – bergelut untuk mencari wang bagi menyediakan makanan kepada anak mereka.

“Perjalanannya pada saat krisis negara yang sama dengan mengatakan, ‘Rakyat tiada roti? Kemudian biarkan mereka makan kek’,” katanya merujuk pepatah lama Perancis yang menunjukkan ketidakpekaan terhadap realiti hidup yang dihadapi golongan kurang bernasib baik.

Fahmi turut mencadangkan Nazri menangguhkan perjalanannya dan mempertimbangkan pendaftaran anaknya di salah sebuah sekolah persendirian yang baik dalam negara.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago turut membidas rancangan Nazri ke luar negara.

“Keputusannya tidak mewakili seorang pemimpin politik veteran dan bekas menteri untuk meninggalkan negara serta kawasan Parlimennya ketika pandemik. Beliau harus menangguhkan perjalanannya dan berada di sini bersama pengundinya yang miskin,” kata Ahli Parlimen DAP itu kepada FMT