PROSES PEMBERSIHAN PARTI BERMULA HARI INI







Kurang sejam dari sekarang, para penyokong Zuraida Kamaruddin akan mengadakan demonstrasi di beberapa lokasi pada hari ke-12 surat tunjuk sebab dikeluarkan ke atasnya.

Surat berkenaan diamanahkan kepada Lembaga Disiplin untuk dikeluarkan ke atas Zuraida bersabit laporan yang dibuat oleh NGO Otai Reformis kira-kira seminggu selepas ucapan Zuraida menghentam dan membuka rahsia perbincangannya dengan Presiden, Anwar Ibrahim.

Dalam ucapannya, Zuraida mendakwa Anwar kononnya memaksa dirinya menerima perlakuan dan bukti video yang menunjukkan Azmin Ali ialah individu yang bersama Haziq Abdullah Abdul Aziz di sebuah bilik hotel di Sandakan pada 11 Mei 2019.

‘Pendedahan’ ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia merupakan perbincangan sulit yang tidak sepatutnya disebar di khalayak umum apatah lagi disiarkan secara langsung oleh beberapa portal media pada malam 8 Disember 2019 itu.

Lantaran dari ‘pendedahan’ tersebut, Zuraida mencabar kepimpinan parti supaya memecat dirinya dan Azmin tanpa sedikit pun memikirkan kesan terhadap pimpinan dan parti.

Cabaran tersebut disambut Otai Reformis yang menghantar laporan salah laku Zuraida kepada Lembaga Disiplin yang diterima salah seorang kakitangan pejabat parti mendesak supaya tindakan dikenankan ke atas Zuraida.

Tindakan NGO tersebut diperlekehkan Zuraida dengan menggelar mereka sebagai ‘NGO nyamuk’ sedangkan Otai Reformis hanya menjalankan tugas mereka melaporkan sebarang perlanggaran disiplin kepada parti.

Apabila Lembaga Disiplin bermesyuarat dan mendapati bahawa laporan disiplin yang diterima mempunyai asas untuk diambil tindakan, tiba-tiba Zuraida seolah kepanasan padahal semasa berucap pada 8 Disember 2019, dia sudah bersedia dipecat yang turut mengheret Azmin sama dalam kancah peperangannya terhadap Anwar.

Keadaan ini memaksa Zuraida mula menyusun strategi memperkudakan sebuah NGO bernama Penggerak Muafakat yang ditubuhkan di seluruh negara dan ketuanya merupakan penyokong tegar Zuraida di setiap negeri sejak penghujung 2018 lagi.

Tekanan pemecatan ke atas Zuraida makin kuat dirasakan hingga menyebabkan ahli parti yang rapat dengan NGO berkenaan dikerah supaya mempertahankannya dalam bentuk mobilisasi anggota dengan tujuan memberi tekanan ke atas Lembaga Disiplin yang mengeluarkan surat tunjuk sebab yang diserahkan pada 17 Januari 2020 lalu.

Persoalan yang timbul di sini ialah:

Pertama, mengapa Zuraida bertindak secara melulu dengan mendedahkan perbincangannya dengan Anwar sedangkan dalam masa sama Zuraida melanggar etika kerahsiaan hingga menyebabkan dia sanggup dipecat kononnya berkata yang benar?

Kedua, mengapa setelah Lembaga Disiplin mengeluarkan surat berkenaan, Zuraida dengan rasa tiada maruah mahu juga menjawab padahal dalam ucapannya, dia tidak kisah sedikit pun diambil tindakan?

Ketiga, mengapa memperkudakan gerakan sebuah NGO mempertahankannya seperti mana yang dilakukan semasa mesyuarat MPP pada hari yang sama surat itu diserahkan kepadanya?

Keempat, jika benar Zuraida bersedia dipecat daripada parti, mengapa sanggup mempertaruhkan masa depan politiknya dengan mendedahkan perkara yang tidak benar semasa malam 8 Disember 2019?

Dan terbaharu, semalam, Setiausaha Agung parti turut mengeluarkan saman ke atas Zuraida atas kapasiti peribadi kerana kenyataan Zuraida berbaur fitnah kepada media menjejaskan nama baik Setiausaha Agung. 

Pasukan Zuraida seakan memperlekehkan Setiausaha Agung kononnya mereka belum menerima surat saman yang dinyatakan sedangkan mereka sebenarnya gementar apakah bentuk saman yang bakal mereka hadapi.

Dan sebenarnya mereka berbohong kononnya belum menerima surat saman berkenaan padahal Setiausaha Agung mendedahkan bahawa cop terima surat sebenarnya bertarikh 20 Januari 2020!

Masih lagi tidak punyai maruah terus berbohong menegakkan benang basah wahai Zuraida?

Kini masanya telah tiba bagi parti membersihkan anasir-anasir jahat yang merosakkan parti dari dalam hingga agenda reformasi yang diperjuangkan selama lebih 20 tahun cuba digagalkan.

Sekiranya Zuraida berkeras mahu melanggar arus cuba menjejaskan imej parti dengan tindakan penjilatnya di seluruh negara, besar kemungkinan tindakan lebih keras akan dikenakan ke atasnya yang akan meranapkan sama sekali cita-cita politiknya dalam Pakatan Harapan.

Apakah Zuraida sudah bersedia dengan kemungkinan itu?

Sama-sama kita tunggu babak seterusnya.

29 JANUARI 2020