Kenyataan biadap pengerusi Umno Johor dikritik
Kenyataan biadap Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad terus mendapat kritikan ramai.
Terbaharu, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Taqiuddin Cheman membidas Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri itu yang dilihat mempermainkan soal kematian.
Taqiuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berkata, sebagai seorang pemimpin senior, Hasni sepatutnya mengingatkan setiap insan agar usia menjadikan sesuatu yang menginsafkan dan bukannya dijadikan alasan bertindak semakin angkuh.
“Sebagai seorang Muslim, Hasni tidak sepatutnya mempermainkan hal kematian kerana ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.
“Boleh jadi yang umurnya 50-an pergi dulu,” katanya.
Hasni sebelum ini disifatkan membuat kenyataan yang keterlaluan apabila mempersoal hayat calon Pakatan arapan (HARAPAN) berusia 66 tahun untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
Hasni dipetik berkata, “calon mereka saya kira 66 tahun, tahun depan 67 tahun, saya harap kita tiada PRK lagi. Penat PRK ni.”
PH memilih Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, sebagai calon PRK Parlimen Tanjung Piai, 16 November ini.
Sementara itu, Ketua Bersatu Bahagian Pontian, Zulkifly Tasrep berkata, umur mahupun kelulusan bukan jaminan untuk menjadi pemimpin yang baik.
Zulkifly berkata, Karmaine layak bertanding berbanding calon lebih muda kerana ketokohan dan pengalaman yang dimiliki.
“Ketokohan dan sifat sebagai pemimpin ynag dimiliki itu paling penting,” katanya. – RF8 Media