Menjawab fitnah PAS terhadap DAP


Kenyataan media Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam
Merujuk kepada kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man yang menfitnah DAP dan menyatakan DAP patut diharamkan.
Saya sudah pernah menjelaskan isu “kingdom of God” sebelum ini, iaitu ucapan saya dibuat di dalam Gereja untuk orang Kristian menjadi warganegara yang baik, tanpa menyentuh agama lain. Ini merupakan hak kebebasan agama Rakyat Malaysia. Adakah PAS ingin menghapuskan kebebasan agama orang bukan Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?
Berkaitan isu Harimau Pembebasan Tamil Elam (LTTE) Sri Lanka, pertama, tiada pemimpin mahupun ahli DAP yang disabit bersalah terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan termasuk melalui LTTE.
Keduanya, berdasarkan prinsip yang sama dengan tuduhan tidak berasas terhadap DAP dalam isu LTTE, adakah Tuan Ibrahim Tuan Man juga akan melabelkan Najib Razak sebagai penyokong LTTE dan turut mengharamkan parti UMNO serta MIC? Pada tahun 2012, Najib Razak melalui MIC pernah menghulurkan sumbangan berjuta-juta ringgit kepada warga Tamil di Sri Lanka yang menjadi mangsa perang saudara di sana.
Berkaitan isu komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama” didakwa sebagai mempromosikan komunisme, saya berharap Tuan Ibrahim Tuan Man melihat kepada rakan kongsinya UMNO yang kerap kali mengadakan perjumpaan tertutup dengan Parti Komunis China (CPC) malah wakil UMNO pernah berucap sempena Kongres CPC pada tahun 2017. Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan Tengku Mansor mewakili parti tersebut berkata:
“Malaysia strongly agrees with the new governance concepts, thoughts and strategies of the CPC Central Committee with General Secretary Xi Jinping at the core, and believes that Xi will certainly lead China to greater achievements and more contributions to world development.” (Sumner: http://www.xinhuanet.com/english/2017-10/24/c_136702868.htm)
(Terjemahan: Malaysia sangat bersetuju dengan konsep urus tadbir baru, pemikiran dan strategi Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China dengan Setiausaha Agung Xi Jinping di pusatnya, dan percaya bahawa Xi akan memimpin China ke arah pencapaian yang lebih hebat dan sumbangan yang lebih banyak kepada pembangunan dunia)
Adakah ini bermakna kerajaan Malaysia pada tahun 2017 dan UMNO secara khususnya, bersetuju dan telah mempromosikan komunisme?
Berbalik kepada prinsip yang diguna oleh Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menfitnah DAP; ada ahli-ahli malah pemimpin PAS yang pernah ditahan kerana penglibatan dalam kumpulan keganasan seperti Kumpulan Mujahideen Malaysia (KMM), Al-Mau’nah, dan Al-Qaeda. Adakah DAP menggunakan kaedah seperti Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menyeru kepada pengharaman PAS? Sudah tentu DAP berfikiran lebih rasional dan tidak akan menggunapakai politik hasutan dan kebencian seperti itu.
Malah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, sendiri pernah menyatakan bahawa DAP satu-satunya parti politik yang mempertahankan PAS ketika kerajaan Barisan Nasional ingin merampas kuasa PAS dalam kerajaan Negeri Kelantan melalui pengisytiharan darurat pada tahun 1977. Pada masa itu, DAP bukan parti yang bekerjasama dengan PAS, namun atas prinsip demokrasi, DAP menyatakan tentangan keras terhadap tindakan tidak demokratik UMNO-Barisan Nasional.
Bukan setakat itu, DAP baru-baru ini pernah mempertahankan UMNO supaya tidak dikenakan tindakan pengharaman walaupun pemimpin-pemimpin UMNO terpalit dengan pelbagai skandal rasuah.
Di satu pihak Tuan Ibrahim Tuan Man dan PAS sanggup bersengkokol dengan perasuah dan kleptokrat, di satu pihak lagi mereka membuat fitnah terhadap DAP. Pandangan Tuan Ibrahim Tuan Man yang sempit, serong dan bersifat menghasut amat dikhuatiri. Jika belum menjadi kerajaan PAS sudah tunjuk taring menindas pihak yang tidak bersetuju dengan mereka, apalah agaknya akan terjadi jika PAS diberi kuasa? .

No comments: