Kerajaan perpaduan: Umno, Pas cuba halang Anwar PM ke 8?
Pelbagai berita kononnya terdapat ura-ura beberapa parti komponen Pakatan Harapan akan bekerjasama dengan Umno dan Pas adalah karut semata-mata.
Gerakan ke arah penyatuan politik Melayu itu dimulai dengan cadangan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan agar Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk kerajaan baharu baru-baru ini.
Diikuti dakwaan ahli parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein melancarkan kempen membentuk kerajaan pusat baharu tanpa DAP dan Amanah.
Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata pemimpin pembangkang kebelakangan ini sengaja memainkan ‘percaturan’ politik lama bagi menidakkan peralihan kuasa di antara PM Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim sebagaimana disepakati sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Beliau memberi amaran rakyat menolak politik pintu belakang itu dengan keputusan jelas PRU 14 lalu
“….Pas atau Umno telah kembali kepada perangai lama. Perangai semasa pentadbiran Umno dahulu, lompat parti, adanya kerjasama secara gelap mengusulkan untuk tujuan tertentu.
“Ini adalah corak atau kaedah politik lama yang pernah diusulkan semasa zaman pemerintahan Umno dahulu. Ini satu perkara yang dibenci oleh rakyat Malaysia.
“Dalam masa sama, rakyat Malaysia telah disajikan dengan berita Anwar akan menggantikan kepimpinan sekarang dalam masa dua tahun. Penyatuan pelbagai kaum memang diusulkan Anwar sejak lama dahulu. Perjuangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama tanpa sempadan Sabah Sarawak,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Katanya, mandat diberikan rakyat pada PRU14 lalu disifatkan lebih dari mencukupi untuk mentadbir negara dengan stabil dan tidak memerlukan bantuan pembangkang atau menyusun semula parti-parti dalam gabungan kerajaan.
“Majoriti rakyat membuat keputusan memilih kerajaan baharu dengan harapan supaya membawa pembaharuan untuk faedah rakyat atau apa polisi yang boleh menguntungkan rakyat atau membawa perubahan. Itu yang diharapkan orang ramai.
“Tiada keperluan untuk bekerjasama dengan sesiapa,” ujarnya.