KELOMPOK PENGAMPU REALITINYA TIDAK SAYANG KEPADA TUN M SEBAGAI NEGARAWAN



Setiap hari sejak kebelakangan ini
ada saja  muncul golongan pengampu dan pembodek baru yang tampil mendesak agar Tun Mahathir Mohamad terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga ke akhir penggal.

Sementara itu, pengampu dan pembodek lama pula terus memerah idea untuk meyakinkan Tun Mahathir agar tidak melepaskan jawatan di pertengahan penggal sebagaimana perkara itu sudah pun merupakan konsensus PH sebelum ini.

Alasan yang selalu diberi untuk memanjangkan tempoh beliau ialah kononnya  khidmat Tun Mahathir masih diperlukan sehingga negara benar-benar pulih sepenuhnya.

Sekali imbas, mungkin ramai yang menyangka mereka ini benar-benar prihatin kepada negara dan sayang kepada Tun Mahathir yang berpeluang menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Tetapi, hakikatnya mereka inilah sebenarnya kelompok yang paling mementingkan diri sendiri dan tidak sayang sama sekali kepada Tun Mahathir sebagai negawaran ulung di negara ini.

Apa yang mereka fikir hanyalah kepentingan ekonomi jangka pendek, jawatan dan habuan untuk diri sendiri yang boleh dikaut selagi Tun Mahathir duduk di kerusi Perdana Menteri dan nikmat keduniaan itu dirasakan mungkin tidak semewah sekarang selepas beliau tidak lagi memegang apa-apa kuasa.

Seperti yang kita sedia maklum, PH sudah ada persetujuan bahawa Tun Mahathir hanya memegang jawatan Perdana Menteri sekitar tempoh dua tahun saja.

Dalam waktu yang sama, Tun Mahathir sendiri berulangkali menyatakan beliau tetap akan mengotakan janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim dan tidak sesekali akan berkhidmat sehingga habis penggal.

Maka, jika kita sayang kepada Tun Mahathir sebagai negawaran dan agar legasinya sentiasa terpelihara, kita sepatutnya sama-sama membantu beliau melaksanakan janji peralihan kuasa yang sudah disepakati dan dikonsensuskan melalui PH itu.

Hanya dengan demikian, kita dapat memastikan Tun Mahathir meninggalkan nama yang harum selepas ketiadaannya nanti.

Meskipun ajal dan maut atau bila seseorang itu akan meninggal dunia adalah ketentuan Tuhan, tetapi dalam usia 94 tahun sekarang, Tun Mahathir benar-benar dalam usia bonus diberi peluang menikmati dan menghirup udara dunia ini.

Tidak ramai manusia di dunia ini berpeluang untuk hidup sehingga ke usia itu, malah dalam ceramah-ceramah agama pun kita selalu diingatkan tentang usia 63 tahun Rasulullah SAW sebagai pedoman untuk berpada-pada mengejar apa yang ada di dunia ini.

Untuk itu, ikut hukum akal, bila-bila masa saja Tun Mahathir boleh pergi atau dijemput Tuhan meninggalkan kita dan dunia yang sementara ini.

Berpeluang menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali adalah nikmat tak terhingga buat Tun Mahathir, begitu juga dengan peluang dapat berbaik semula dengan Anwar setelah bermusuhan demi kuasa selama 20 tahun lamanya.

Semua itu adalah ketentuan Tuhan yang tentu ada rahmatnya yang tersendiri.

Soalnya, apakah setelah berbaik semula dengan Anwar, kita mahu melihat Tun Mahathir bersengketa semula dengan Presiden PKR itu semata-mata kerana didesak untuk tidak menunaikan janji penyerahan jawatan yang telah dipersetujui?

Bolehkah kita bayangkan apa jadi kepada legasi dan status kenegarawanan Tun Mahathir jika pemergiannya nanti  diselebungi bukan saja kerana perbalahan semula dengan Anwar, tetapi juga dengan perpecahan dalam PH?

Bolehkah dikata mereka yang mendesak Tun Mahathir  untuk berkhidmat sehingga ke akhir penggal itu benar-benar sayang kepadanya, sedangkan perbuatan mereka lebih berisiko mendedahkan legasi dan kenegarawanannya kepada pencercaan selepas ketiadaannya?

Atau mereka yang mahu beliau sentiasa berpegang kepada janji peralihan kuasa itulah sebenarnya yang sayang kepada legasi dan kenegarawanan Tun Mahathir untuk tinggalan paling berharga buat negara tercinta ini? (Shahbudindotcom 03/08/2019)