AKIBAT LEBIH SUDU DARI KUAH..



Khairuddin Abu Hassan, selain orangramai mengenalinya sebagai suami pelakon Umie Aida, beliau juga dikenali sebagai penyokong dan pengampu kuat Tun Mahathir Mohamad.
Setelah dipecat daripada UMNO, beliau kemudian menyertai Bersatu bersama-sama Tun Mahathir.
Bagaimanapun, disebabkan tidak sebulu dengan Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu, beliau meninggalkan parti itu tidak lama kemudiannya.
Sejak itu tidak terdengar beliau ada mengisi borang mana-mana parti untuk menjadi ahli.
Pada PRU14 lalu, beliau diberi peluang bertanding di Parlimen Jasin mewakili PH atas kouta Amanah.
Tetapi, tidak pula diketahui sama ada Khairuddin merupakan ahli Amanah atau tidak atau beliau mungkin hanya bertanding atas kouta parti Amanah dan tidak menjadi ahlinya.
Beliau tewas kepada Ahmad Hamzah dengan kekurangan sebanyak 219 undi. Walaupun keputusan itu dipertikai di mahkamah, keputusan akhirnya mengekalkan kemenangan buat Ahmad Hamzah.
Selepas berakhir PRU14, Khairuddin kerap mengeluarkan kenyataan melalui media sosial dengan menggunakan jawatannya sebagai Penyelaras Parlimen Jasin.
Siapakah yang melantiknya memegang jawatan itu?
Adakah Ketua Menteri Melaka, Mohamad Sabu atau Tun Mahathir yang melantik beliau memegang jawatan itu?
Jika ada lantikan rasmi, mengapa pula hanya Khairuddin saja dalam PH yang ada jawatan sedemikian?
Tidak pernah pula terdengar calon-calon Parlimen lain yang kalah kelihatan masih gah menjaja jawatan Penyelaras Parlimen sepertinya?
Sehingga ini, kedudukan Khairuddin dengan jawatan sebagai Penyelaras Parlimen Jasin sering menimbulkan kekeliruan kepada PH kerana kekerapannya mengeluarkan kenyataan berhubung masalah dalaman PH itu sendiri.
Sebagai penyokong dan pengampu Tun Mahathir, walaupun Khairuddin dikatakan pernah mendakwa beliaulah yang memujuk Tun Mahathir agar bertemu dan berbaik semula dengan Anwar Ibrahim sebelum PRU14 lalu, tetapi kini beliaulah antara yang ke depan dan paling kuat menghentam Anwar.
Bellau juga didakwa terlibat mengadakan pertemuan rahsia dengan pemimpin-pemimpin UMNO dengan tujuan “merampas” agenda penyatuan ummah UMNO dan Pas, sebaliknya mahu ia dilencongkan kepada agenda melanjutkan tempoh khidmat Tun Mahathir sebagai Perdana Mentero sehingga habis penggal.
Tidak pasti siapa yang memberi mandat kepadanya untuk melakukan semua kerja itu.
Adakah beliau diarah oleh Tun Mahathir atau adakah ini merupakan sebahagian daripada skop tugasnya sebagai Penyelaras Parlimen Jasin yang merupakan kouta Amanah itu?
Selain itu, dalam semua kenyataan media yang dikeluarkannya, baik mengkritik Anwar atau sesiapa saja, Khairuddin tetap menggunakan jawatannya sebagai Penyelaras Parlimen Jasin sehingga kini.
Oleh kerana kerusi Parlimen Jasin adalah kouta Amanah, tanggapan umum ialah beliau tentulah merupakan ahli Amanah atau setidak-tidaknya apa yang dilakukannya dalam pengetahuan parti itu.
Tetapi, bolehkah beliau mengeluarkan kenyataan media sesuka hati mengkritik PH, mengkritik Anwar dan mengkritik sesiapa saja yang dikehendakinya?
Adakah Presiden Amanah, Mohamad Sabu sedar mengenai perkara ini atau mahu berdiam diri saja, sedangkan kelakuan Khairuddin selaku Penyelaras Parlimen Jasin sedikit-sebanyak telah mencalarkan nama baik Amanah?
Kalaulah pula Khairuddin bukan ahli Amanah dan tidak juga ahli mana-mana parti dalam gabungan PH, bagaimana beliau boleh dilantik sebagai Penyelaras Parlimen Jasin?
Atas kapasiti apa beliau yang bukan ahli mana-mana parti untuk campurtangan dalam banyak urusan PH dan mengkritik pemimpin PH sesuka hatinya?
Untuk keharmonian bersama, adalah penting Khairuddin menjelaskan kedudukan sebenar mengenai dirinya dalam PH.
Jika tidak, tumpu saja jaga Umie Aida!! (Shahbudindotcom 22/08/2019)

No comments: