Akan tepati janji serah jawatan kepada Anwar – Tun M
Pihak-pihak yang suka berspekulasi berhubung peralihan kuasa antara perdana menteri dan penggantinya Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan agar berhenti berbuat demikian.
Dalam sidang media diambang merdeka semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi janjinya untuk meletak jawatan sebelum penggal 2023 berakhir.
“Saya telah berjanji dan saya akan hormatinya. Dulu bila saya kata saya akan letak jawatan (2003), pembangkang kata tak ada cara saya akan letak jawatan tetapi saya lakukannya,” katanya dipetik selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan.
Isu peralihan kuasa timbul semula selepas Tun baru-baru ini berkata tiada kekosongan dalam kabinet yang mungkin akan dirombak untuk menempatkan Anwar.
Anwar pula berkata tidak pernah terlintas mahu menyertai kabinet Tun.
“Saya terikat dengan perjanjian (PH). Saya tidak pernah mahu menyertai Kabinet.
“Ini kerana persetujuan di Pakatan Harapan adalah Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri sehingga giliran saya tiba,” katanya dipetik.
Sehubungan itu, isteri Anwar yang juga Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tiada kekosongan untuk suaminya dalam kabinet melainkan Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri.
“Saya kira (akan berlaku kekosongan dalam Kabinet) kalau PM (Perdana Menteri) kosongkan (jawatan), itulah (seperti) yang dijanjikan,” katanya.
Dr Mahathir sentiasa menegaskan bahawa beliau akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar.
Bagaimanapun tiada garis masa ditentukan untuk penyerahan jawatan tersebut – RF8 Media