PRK Rantau: PH lemah propaganda, masa untuk tukar strategi
Menjelang pilihan raya kecil (PRK) DUN rantau, Negeri Sembilan yang ditetapkan pada 13 April depan, pelbagai kritikan dileparkan kepada Pakatan Harapan (PH) yang kalah dalam dua PRK sebelumnya di Cameron Highlands dan Semenyih.
Menurut Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, parti kerajaan sejak kebelakangan ini amat lemah dari segi propaganda. Masalah yang lebih besar, katanya, media kerajaan seperti RTM atau Bernama juga tidak begitu menghebahkan pelbagai skim bantuan yang disediakan kerajaan pusat kepada rakyat sehingga pengundi di luar bandar menganggap PH tidak berbuat apa-apa sejak 10 bulan memerintah.
Bagi PRK Rantau, menurut Ng, PH perlu lebih realistik dan menukar strategi iaitu lebih agreasif dalam propaganda kerana DUN Rantau terletak di luar bandar yang mana akses maklumat melalui medium internet sangat terhad.
“Tidak kira siapa calon Umno, yang penting PH perlu mewujudkan lebih banyak propaganda untuk menghebohkan penambahbaikan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Sembilan yang diketuai PH.
“Tanpa ini, adalah amat sukar untuk PH meraih kemenangan. Walaupun demikian, saya yakin pengundi India dan Cina akan menyokong PH dan justeru itu, kita harus memberi lebih tumpuan kepada pengundi Melayu yang akan menentukan siapakah pemenang di Rantau.
“Sejak PH menang pilihanraya umum yang lalu, saya tahu propaganda untuk PH di media arus perdana termasuk akhbar harian adalah amat kurang sehingga ramai rakyat termasuk penduduk di bandar tidak tahu apa yang PH telah buat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan itu kepada Suara Pakatan Daily.
Selain itu, Ng juga berharap harga barang keperluan harian boleh diturunkan sedikit sebagai langkah berterusan mengurangkan kos hidup rakyat sebagai menunaikan janji pilihan raya umum lalu. Kos hidup yang kekal tinggi katanya, menyebabkan pengundi muda menolak PH dalam PRK Semenyih lalu.
“Perkara penting yang patut dilakukan sekarang ialah menurunkan kos sara hidup. Saya berpendapat kalau ini tidak dilakukan, PH akan terus mengalami kekalahan kalau ada PRK di mana-mana jua,” tegas beliau.
DUN Rantau mempunyai 53% pengundi Melayu, 27% pengundi India dan 21% pengundi Cina