PAS OH PAS...MASIH TAK SEDAR DIRI LAGI RUPANYA?



Sekali imbas, Pas nampaknya semakin menyedari bahawa keegoan mereka untuk menjadikan pentandingan tiga penjuru dalam pilihanraya sebenarnya adalah strategi yang memakan diri sendiri.

Dengan keyakinan bahawa pertandingan tiga penjuru dapat menjadikan mereka sebagai "king maker" dan BN atau Pakatan Harapan akan mencari mereka untuk membentuk kerajaan, sebaliknya apa yang berlaku ialah Pas kecundang di semua kerusi campuran dan hanya kekal sebagai parti yang mampu bernafas di Kelantan dan Terengganu sahaja.

Barangkali tidak kurang sedihnya juga bagi Pas bila mana Amanah yang baru ditubuhkan dan pernah diramalkan akan berkubur selepas PRU14, tetapi sekarang satu demi satu pemimpinnya dilantik sebagai menteri mahupun timbalan menteri.

Manalah tak sedih...sekian lama berjuang tapi masih tak mampi menjadi sebahagian daripada kerajaan, namun Amanah yang selalu diperlekeh pula yang akhirnya tampil dengan cemerlang dan meraih kejayaan.

Lantaran itu, menjelang pilihanraya kecil Sungai Kandis tidak lama lagi berikutan kematian Adunnya, Shuhaimi Shafie, Pas dengan segera menyatakan keinginan untuk berlawan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan yang diwakili oleh PKR.

Kata Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, parti itu hanya akan menyertai pilihanraya kecil itu jika ia pertandingan satu lawan satu.  

"Kalau pertandingan tiga penjuru, mungkin kita akan pertimbang balik kerana kita tidak mahu perpecahan undi dan mengulangi kesilapan dalam pilihanraya yang lalu," katanya lagi.

Bermakna, jika BN masuk bertanding dan PKR yang pasti meletakkan calonnya berikutan kerusi itu milik mereka, Pas dengan sendirinya akan menarik diri.

Ehhh....sudah tidak mahu jadi "king maker" lagi ke?

Walaupun sudah terlambat, Pas sekurang-kurangnya sedar mereka sudah melakukan kesilapan besar sebelum ini.

Jika tidak dan kiranya mereka setuju berunding elok-elok dari segi pembahagian kerusi dengan Pakatan Harapan dalam pilihanraya umum lalu, pasti hari ini kita akan melihat beberapa pemimpin Pas sudah pun berjawatan menteri dan timbalan menteri bersama-sama dengan PKR, DAP, Bersatu dan juga Amanah.

Atau pun kiranya Pas setuju bekerjasama dengan UMNO dan BN, tidak mustahil hari ini parti itu sudah pun membentuk kerajaan campuran bersama pemimpin kleptokrasi, Najib Razak.

Apa pun, segala-galanya sudah terlambat bagi Pas.

Namun demikian, melihat sikap Pas yang berharap BN akan menarik diri di Sungai Kandis dan mereka yang mahu berlawan dengan Pakatan Harapan, ia dengan sendirinya menunjukkan parti itu masih dengan keegoaan yang tersendiri.

Dalam pilihanraya 9 Mei lalu,  bagi kerusi DUN Sungai Kandis, PKR mendapat 23,998 undi,  BN mendapat 11,518 undi, Pas 7,573 undi dan PRM dengan 76 undi.

Berdasarkan itu, Pas tidak sepatutnya mengharapkan BN tidak meletakkan calonnya, sebaliknya merekalah sebagai parti yang mendapat undi ketiga yang sepatutnya menarik diri.

Jika ingin melihat pertandingan satu lawan satu, ia sepatutnya antara BN berlawan dengan Pakatan Harapan, bukannya Pas dengan Pakatan Harapan.

Di mana logiknya parti nombor tiga dari segi perolehan undi mahu parti nombor dua menarik diri?

Pas masih belum sedar diri lagi rupanya? (ShahbudinHusin 09/07/2018)

No comments: