Sekat Wan Rahim, Husam ke pejabat kerajaan ‘politik toksik’
Tindakan kerajaan negeri Kelantan menyekat dua pemimpin AMANAH, Husam Musa dan Wan Abdul Rahim Abdullah dari memasuki pejabat di bawah kerajaan negeri sesuatu yang perlukan penjelasan yang sewajarnya.
Ini kerana tindakan ini mencatat satu sejarah baru kepada negeri itu walaupun dalam Pekeliling itu dinyatakan mereka adalah tambahan kepada individu yang telah dikenakan tindakan yang sama sebelum ini.
Menurut Pekeliling Pengurusan yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan itu, mereka berdua turut dihalang dari memasuki semua istana di negeri Kelantan.
Arahan bertarikh 27 Mei itu dikeluarkan kepada semua jabatan-jabatan kerajaan negeri Kelantan.
“Mana-mana pegawai kerajaan negeri berkenaan yang ingkar arahan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan Pegawai Awam Negeri Kelantan (kelakuan dan tatatertib) tahun 1996 atau mana-mana peraturan yang berkuat kuasa pada masa ini,” kata surat yang ditandatangani oleh Nazran Muhamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan itu.
Sebelum ini Husam dan Wan Rahim telah ditarik gelaran datuk oleh Istana Kelantan.
Turut ditarik gelaran sebelum pilihan raya umum ke 14 lalu adalah Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini adalah perdana menteri.
Terlalu banyak andaian yang boleh dibuat terhadap tindakan ini kerana Kelantan adalah sebuah negeri yang ditadbir oleh Parti Islam Semalaysia (Pas) dan Kelantan diwar-warkan sebagai sebuah negeri yang ditadbir berasaskan konsep Islam.
Adakah menyekat musuh politik dari memasuki premis kerajaan yang tidak dibuktikan dengan sebarang salah laku adalah satu tindakan yang Islamik.
Adakah tindakan ini dibuat untuk menyekat ‘rahsia’ kerajaan bocor kepada umum? Jika ia benar, apakah ‘rahsia’ yang hendak disekat itu sehingga menyekat dari mereka masuk ke pejabat kerajaan negeri untuk membayar cukai pintu, cukai tanah dan pelbagai cukai yang dikenakan kerajaan lagi ke atas rakyat.
Ada juga yang berkata, itu baru kuasa di peringkat negeri. Bagaimana pula kalau ada kuasa di peringkat pusat. Yang menguasai polis, SPRM dan pelbagai pihak berkuasa lagi.
Bagaimana nanti kalau digunakan segala kuasa itu atas nama Islam. Tidakkah nanti akan memberikan imej buruk kepada Islam, agama kasih sayang dan perdamaian serta rahmat untuk sekalian alam ini.
Semua ini perlu dijelaskan oleh pemimpin kerajaan negeri terutama sekali pihak yang terlibat dengan arahan ini.
Ia juga perlu dijelaskan kerana arahan ini keluar dua hari selepas Timbalan Menteri Besar, Datuk Muhamad Amar memberikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, tempat Mursyidul Am Pas paling popular, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajar dahulu.
Dalam kuliah itu Mohamad Amar berkata, Pas tidak kesah tidak boleh menang di peringkat pusat dalam pilihan raya umum ke 14 lalu kerana hutang terlalu banyak. Biarlah PH selesaikan hutang dahulu, baru kita masuk.
Ia semacam mahu lari dari tanggung jawab dan dibimbangi juga kalau-kalau pucuk pimpinan kerajaan negeri sekali lagi mahu lari dari tanggungjawab terhadap surat arahan ini. –