Pertandingan 3 penjuru akan untungkan PH – DAP
ULASAN: Berbeza dengan tanggapan ramai, pertembungan tiga penjuru antara BN, Pakatan Harapan dan PAS dalam pilhan raya umum (PRU) ke-14 sebenarnya akan merugikan BN. Malah PAS juga bakal menerima nasib yang lebih parah.
Keputusan PRU ke-14 akan meninggalkan kesan yang sangat ketara, iaitu sama ada negara ditadbir 10 tahun lagi di bawah pemerintahan kleptokratik Najib atau permulaan baru dengan kerajaan Pakatan Harapan.
Selepas keputusan pilihan raya umum 2013 diumumkan, Perdana Menteri Najib Razak sedar bahawa beliau tidak akan menang dengan pertembungan satu lawan satu di antara BN dan Pakatan Rakyat, atau pertembungan di antara Najib dan Anwar Ibrahim.
Maka Najib cuba mewujudkan situasi lain untuk menang dengan;
a) Mengenepikan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang dipersetujui oleh pakatan pembangkang;
b) Memancing PAS untuk bekerjasama dengan Umno-BN.
c) Menggambarkan bahawa pembangkang didominasi oleh DAP dengan hanya sokongan Cina.
b) Memancing PAS untuk bekerjasama dengan Umno-BN.
c) Menggambarkan bahawa pembangkang didominasi oleh DAP dengan hanya sokongan Cina.
Namun Najib tidak sedar bahawa beliau sendiri adalah punca masalah. Najib dan skandal 1MDB telah menyebabkan perpecahan paling besar yang tidak pernah terjadi sebelum ini di kalangan pemimpin dan ahli UMNO.
Perpecahan itu menyebabkan Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal dipecat daripada Kabinet pada Julai 2015 dan seterusnya membawa kepada penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada September 2016.
Kerajaan pimpinan Najib cuba memancing kerjasama PAS sejak Mac 2014 kononnya dengan agenda menyatupadukan orang Islam di Malaysia. Usaha untuk membawa PAS ke dalam dakapan UMNO diperkuatkan selepas Tok Guru Nik Aziz Nik mat meninggal dunia pada Februari 2015.
Perpecahan dalaman PAS pada Jun 2015 yang membawa kepada penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) pada September 2015 adalah pertembungan yang melibatkan pihak-pihak berikut:
1. Pihak yang ingin bekerjasama dengan Umno/Najib (kumpulan Hadi Awang) dan pihak yang menolak kerjasama dengan Umno/Najib (yang kemudiannya menubuhkan Amanah);
2. Pihak yang enggan bekerjasama dengan parti-parti Pakatan seperti PKR dan DAP dengan pihak yang ingin menggantikan Umno melalui pakatan pembangkang.
3. Pihak yang cuma mengangkat agenda Muslim sahaja dan pihak yang memperjuangkan agenda Bangsa malaysia.
Perpecahan dalaman Umno dan PAS pada 2015 memberi kesan yang sangat besar kepada landskap politik negara.
Perpecahan itu menyebabkan pengundi-pengundi yang mengundi Umno pada 2013 beralih sokongan kepada Pakatan Harapan atas prinsip menolak Najib dan Umno.
Akan ada pula pengundi yang mengundi PAS dalam pilihan raya lepas beralih sokongan kepada Pakatan Harapan kerana tidak bersetuju PAS menjalin kerjasama dengan Umno yang pemimpin tertingginya Najib terlibat dengan skandal paling besar negara.
Faktor-faktor lain termasuklah kesan-kesan ekonomi akibat pelaksanaan GST, kejatuhan nilai ringgit dan pemansuhan beberapa subsidi. Ramai keluarga kelas petengahan rendah terjejas akibat situasi ekonomi yang mendesak dan membebankan warga kebanyakan di Malaysia.
Justeru, andaian-andaian sebelum ini tentang situasi politik negara tidak boleh diguna pakai lagi dalam senario baru yang sedang berlangsung.
Salah satu klise yang perlu dibongkar adalah pendapat bahawa pertembungan tiga penjuru memanfaatkan Umno dan BN. Jika benar Pakatan Harapan lemah dan tiada arah tuju, pertembungan tiga penjuru semestinya akan menguntungkan Umno-BN.
Tetapi jika Pakatan Harapan tampil sebagai kerajaan alternatif yang kuat dan menarik minat golongan yang menolak pentadbiran kleptokratik Najib selain mereka yang mengimpikan permulaan baru untuk Malaysia, maka Umno dan PAS hanya akan dipertahankan oleh penyokong tegar mereka sementara semua pengundi lain beralih sokongan kepada Pakatan Harapan.
Dalam senario seperti itu, pengundi-pengundi yang setia kepada PAS pimpinan Hadi Awang yang kini menjadi jurucakap kerajaan Najib mungkin mengundi Umno sekiranya pertembungan satu lawan satu. Namun dalam pertembungan tiga penjuru, senario itu akan merugikan Umno.
Apa yang perlu dilakukan oleh Pakatan Harapan adalah menjelaskan kepada pengundi untuk membezakan Pakatan Harapan dengan Umno pimpinan Najib dan sekutunya PAS.
Pakatan Harapan perlu menjelaskan kepada semua pengundi bahawa satu undi untuk PAS adalah satu undi untuk Najib. Penyokong PAS sendiri boleh diyakinkan jika mereka sedar bahawa pemimpin mereka kini bekerjasama dengan Najib untuk melakukan lebih banyak kerosakan kepada negara.
Pakatan Harapan yang kuat dengan hala tuju yang jelas akan memaksa Umno melupakan strategi pertembungan tiga penjuru kerana strategi itu bermakna Umno tidak akan mendapat undi daripada penyokong setia Hadi yang hanya akan memilih Najib sekiranya ia merupakan pertembungan satu lawan satu melawan Pakatan Harapan.
Kita sedang melalui satu era yang luar biasa. Kita mesti bangkit menyahut cabaran yang ada untuk melawan strategi pihak lawan dengan arah tuju yang jelas.
_____________________________________________________________________________
LIEW CHIN TONG adalah anggota parlimen Kluang merangkap Pengerusi DAP Johor.