PH tolak Pas, geng kartel ‘checkmate’
Kenyataan tegas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 28 Ogos lalu yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad menamatkan rancangan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan geng kartel untuk meneruskan rundingan pembahagian kerusi bersama Pas.
Sebelum mesyuarat itu berlangsung ada spekulasi menyebut Tun mungkin akan memberi Azmin masa untuk membentangkan pelan rundingan yang diterajui beliau. Mungkin satu dateline akan diumumkan dalam mesyuarat malam itu.
Tolak mentah-mentah
Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Mahathir tidak memberi Azmin dan kartel walau seminit pun untuk meneruskan rundingan dengan Pas.
Bagaimanapun, selepas kenyataan media PH dikeluarkan pada tengah malam Isnin itu, pimpinan pro kartel masih mahu memujuk penyokong mereka bahawa perjuangan belum berakhir. Surat Ketua Umum PKR dan PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara ditunggu-tunggu untuk menyelamatkan keadaan. Surat itu diharap akan mengarahkan pendekatan memujuk Pas.
Bagaimanapun segala-galanya telah tamat. Umum mengerti apabila PH menolak kerjasama dengan Pas maka kerusi akan dibahagi-bahagikan sesama komponen PH. Sekiranya Azmin berkeras mahu meneruskan rundingan maka beliau hanya akan menawarkan ‘cek tendang’ kepada Pas.
Apakah yang boleh ditawarkan jika kerusi di Selangor pun telah dibahagi-bahagikan antara PKR, DAP, Bersatu dan Amanah? Watikah calon pilihan raya PKR sendiri akan ditandatangani oleh presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah atau Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail. Kedua-duanya tidak cenderung kepada Azmin.
Azmin checkmate
Oleh itu dalam istilah percaturan politik, Azmin dan kartel telah pun checkmate. Mereka tidak boleh bergerak lagi. Sekiranya hulubalang Azmin seperti Lathefa Koya atau Dr Afif Bahardin mahu terus menyerang kepimpinan tertinggi PKR dalam mesyuarat biro politik atau melalu media sosial, serangan itu akan memakan diri mereka sendiri. Sebabnya, mereka tidak boleh mempersalahkan Rafizi, Saifuddin atau Wan Azizah telah mensabotaj rundingan PKR – Pas.
Sebaliknya mereka harus mempersalahkan Mohamad sabu, Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng, Tun Mahathir dan kesemua pimpinan tertinggi Bersatu, DAP dan Amanah yang menamatkan langkah mereka melalui keputusan bersama pada malam Isnin lalu. Adakah kartel tega melakukannya?
Malah surat Anwar juga tidak laku untuk mereka pergunakan jika ada ‘hint’ ke arah rundingan bersama Pas, kerana kedudukan Ketua Umum PH itu yang dibentengi tembok penjara Sungai Buloh. Keputusan yang akan dilaksanakan tentulah keputusan pemimpin yang berada di luar dan bebas.
Menyelamatkan PH
Sesungguhnya kenyataan bersama malam Isnin itu telah menyelamatkan PH daripada berpecah belah. Manakala PKR pula tidak perlu lagi memanggil kongres khas yang berisiko menimbulkan perbalahan lebih serius dalam parti andainya kerjasama Pas – PKR diperdebatkan secara terbuka.
Selepas ini, usaha dan tenaga harus ditumpukan kepada strategi pilihan raya umum (PRU) bersama komponen PH. Namun adakah Azmin dan puak kartel akan akur keputusan tersebut?
Berkemungkinan besar kartel tidak akan menerimanya dan terus mempertikaikan kebijaksanaan menolak Pas. Mereka melihat Selangor akan gagal dipertahankan tanpa Pas mendukung jentera PKR.
Laporan Institut Darul Ehsan (IDE) yang dikeluarkan pada 28 Ogos dengan temuramah ke atas 4,486 responden akan dijadikan sandaran. Laporan itu menyebut pembangkang akan menguasai 8 negeri sekiranya bersatu. Bagaimanapun, kajian IDE itu agak lemah kerana soalan yang ditanya kepada responden tidak mengambil kira parti-parti tertentu tetapi hanya menyebut pembangkang secara umum.
Sebenarnya jika dapatan tersebut diteliti, jawapan responden kepada IDE itu merujuk Pakatan Harapan dan bukannya kesemua parti-parti pembangkang termasuk Pas, Parti Sosialis Malaysia, Ikatan, Berjasa dan lain-lain.
Invoke, IDE tidak jauh beza
Dapatan Invoke yang berjaya menemuramah17,000 – 20,000 responden misalnya tidak jauh berbeza dengan IDE walaupun bertanyakan soalan pertandingan tiga penjuru. Kajian Invoke membayangkan PH akan menguasai Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Kelantan. Oleh itu, geng kartel tidak boleh menggunakan kajian IDE sebagai sandaran mutlak untuk meneruskan pertelagahan dengan PH.
Namun tidak dapat ditolak pemimpin yang tidak berpuas hati dengan keputusan malam Isnin itu akan melancarkan serangan terbuka ke atas Tun Mahathir dan berkempen untuk memencilkan beliau, sebagaimana kempen Pas yang takut ahlinya mengundi PH bersungguh-sungguh mengingatkan dosa Mahathir membunuh pengikut mereka dalam tragedi Memali.
Kartel akan mengecil
Masa akan menentukan apakah yang akan berlaku selanjutnya dalam krisis kepimpinan PKR. Namun berdasarkan sejarah, krisis seumpama ini akan berakhir dengan puak yang menentang akan semakin mengecil. Apabila parti-parti komponen PH telah memperlihatkan sikap mereka maka majoriti pemimpin yang mahu meneruskan rundingan dengan Pas akan kembali menyokong Dr Wan Azizah kerana perjuangan mereka kelihatan tidak lagi realistik.
Malah mereka akan berdepan risiko jika meneruskan kerjasama dengan Pas. Sekiranya kesetiaan mereka kepada PH diragui maka menjadi hak PH untuk tidak mencalonkan mereka dalam PRU 14. Mungkin pada minggu-minggu mendatang akan memperlihatkan beberapa sidang media pemimpin yang beralih arah menyokong Dr Wan Azizah. Atau pun pemberontakan pemimpin akar umbi di Kelantan akan berakhir dengan penukaran ketua perhubungan PKR negeri itu.
Semua itu akan menjadi episod menarik dalam PKR menjelang PRU 14. Bagaimanapun, pergolakan dalaman ini tidak akan menjejaskan undi kepada PH kerana sebelum PRU 2008 dulu juga berlaku pergolakan dalam DAP dan PKR. Namun mood rakyat terbukti mengatasi segala-galanya.
_____________________________________________________________________________
Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan bukannya pendirian rasmi wrlr.blogspot.com