Pas tidak relevan, untuk apa terus berunding?
PAS sudah memuktamadkan bahawa tiada lagi kerjasama politik dengan PKR pada Mei lalu.
Dalam keadaan begitu minggu lalu Datuk Seri Azmin Ali mengumumkan sedang ada usaha berbincang dengan PAS – secara tidak rasmi – sebagai persediaan PKR menghadapi pilihan raya umum (PRU).
Kemudian timbalan presiden PKR dan menteri besar Selangor itu menjelaskan perbincangan dengan PAS itu tiada kaitan dengan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Sebagai reaksi, parti yang bergabung dalam HARAPAN juga menyatakan mereka tidak ada sebarang pertalian dengan apa dilaukan PKR.
Bercakap kepada Malaysiakini, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata perbincangan yang berlaku itu adalah inisiatif PKR sepenuhnya.
“Seperti kata Azmin, ia adalah inisiatif PKR untuk memujuk PAS walaupun parti itu menolak berkali-kali.
“Bagaimanapun ia kekal menjadi hak PKR untuk berbuat demikian,” katanya.
Pada masa sama Pua juga menyatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sudah mengetepikan usaha berbincang dengan PAS beberapa bulan lalu dan mengakui parti terbabit tidak mahu berkompromi langsung dengan HARAPAN yang turut disertai DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).
“Memang sudah jelas kepada kebanyakan pemimpin HARAPAN, PAS terutamanya presiden mereka lebih selesa menjalin hubungan dengan Umno,” katanya.
Anggota parlimen Petaling Jaya Utara itu juga yakin melalui kepimpinan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, BERSATU, PKR dan AMANAH, HARAPAN mampu mendapat sokongan besar pengundi Melayu yang sebelum ini memangkah PAS.
“Strategi yang lebih baik ialah memanfaatkan momentum HARAPAN yang dapat dilihat meningkat dengan ketara, dan pemimpin BN terpaksa melakukan tindak balas terdesak untuk menyainginya,” kata Pua.
Malah, katanya, PAS semakin mengasingkan diri mereka dan menjadi tidak relevan kerana terus berbaik dengan Umno.
“Kecualilah kita mahu menjadikan mereka relevan semula,” katanya.
Sementara itu Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata beliau enggan mengulangi kesilapan yang dilakukan semasa pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lalu.
Katanya, AMANAH tidak ada masalah jika PKR terus berunding dengan PAS atau mana-mana pihak asalkan fokkus parti tersebut kepada bersama HARAPAN.
“Kita ada pengalaman di Sungai Besar dan Kuala Kangsar apabia PKR cuba berunding dengan PAS sehingga saat-saat terakhir dan calon HARAPAN tidak memulakan kempen sehinggalah terlewat.
“Ia adalah pengalaman pahit buat kami dan dari pandangan AMANAH kita tidak patut mengulangi kesilapan begitu,” katanya.
Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam berkata, beliau tidak ada masalah apabila PKR atau mana-mana pihak berunding dengan PAS.
“Cuma kita tak boleh melengah-lengahan usaha memperkukuhkan HARAPAN di semua negeri disebabkan rundingan itu,” katanya.
Selain itu kata Khalid jika HARAPAN semakin kukuh gabungan berkenaan akan menjadi lebih berkuasa jika perlu berunding dengan PAS pada masa depan.
“Mereka (PAS) tak kuat. Mereka saja fikir mereka kuat. Kamu mungkin terperangkap dengan propaganda mereka.
“Orang yang berunding dengan mereka perlu faham bahawa HARAPAN adalah parti yang kuat,” katanya.