Rakyat pro Mukhriz berhimpun tolak MB Kedah baharu
Rakyat Kedah mengadakan perhimpunan kecil secara aman di hadapan pejabat bakal menteri besar baharu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada ketika spekulasi pihak Istana sudah memberi perkenan mengadakan majlis angkat sumpah Isnin ini.
Penduduk yang datang dari beberapa daerah sekitar Kedah membawa sepanduk dan kain rentang menolak Bashah dan menyokong kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang sedang didesak berundur.
Seorang penduduk dari Pokok Sena, Ramli Abdul Rahman, 54, yang ditemui di perkarangan pejabat Bashah berkata, kumpulan itu tidak selesa dengan kemelut politik yang sedang berlaku di negeri Kedah.
“Kami tidak selesa dengan kemelut politik melanda Kedah.
“Pentadbiran sedia ada sudah baik dan tidak ada masalah, mengapa mahu menukar menteri besar secara tiba-tiba?” kata Ramli mempersoalkan usaha kumpulan tertentu yang mendesak Mukhriz melepaskan jawatan sebagai menteri besar.
Beliau menafikan ditaja atau mewakili mana-mana parti politik untuk hadir membuat bantahan di depan pejabat Bashah dan menyifatkan Mukhriz sebagai menteri besar yang mesra dengan rakyat serta mudah didekati.
“Berbanding dengan menteri besar sebelum ini, rakyat mudah bertemu Mukhriz dan selesa mendekati beliau.
“Pentadbiran Mukhriz tidak ada birokrasi, bila rakyat mahu jumpa mereka mudah bertemu bagi mendapatkan bantuan dan berkongsi masalah dengan beliau,” katanya.
Sementara itu, seorang pemuda, Mohd Abdullah Hamid, 31, yang juga bersama dalam bantahan itu berkata, Mukhriz mudah didekati golongan muda dan banyak aktiviti diadakan menarik golongan generasi Y yang sering dipinggirkan kerajaan.
“Majoriti anak muda menyokong Mukhriz, mereka suka dengan cara beliau memerintah yang mesra dengan orang muda.
“Kalau Bashah, kami tidak tahu macam mana. Kami tidak rasa dia dapat memahami apa yang anak muda Kedah mahukan,” katanya.
Abdullah yang bekerja di salah sebuah kedai telekomunikasi di Alor Setar berkata jika Mukhriz digantikan, mereka tidak akan menyokong Umno dan menghukumnya pada pilihan raya umum nanti.
“Jangan ingat anak muda Kedah ini bodoh. Kalau mereka tukar juga menteri besar kami akan tukar kerajaan Umno dalam pilihan raya nanti.
“Jangan mengetepikan sokongan anak muda kerana kumpulan ini yang akan menjadi penentu dalam pilihan raya nanti,” katanya yang juga merupakan pengundi kawasan DUN Bashah.
Himpunan itu berlangsung kira-kira 20 minit dan berakhir secara aman dengan kehadiran beberapa anggota polis yang dilihat memantau keadaan sekeliling.
Mereka dilihat membawa sepanduk “Tolak Bashah”, “Kami tidak mahu Bashah jadi MB” dan beberapa sepanduk lain.
Selain itu, dalam satu kajian yang dilakukan Jabatan Penerangan Kedah minggu lalu mendapati ramai bersimpati dan memberi sokongan kepada Mukhriz kerana berpendapat usaha menjatuhkannya sebagai satu tindakan tidak wajar.
Kemelut politik Kedah sudah masuk lebih seminggu dan sehingga hari ini Najib masih belum mengumumkan nama baharu menteri besar walaupun sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, dipercayai bagi membincangkan mengenai nama menteri besar baharu.