NAJIB TIDAK PATUT...

Parti KEADILAN dikejutkan dengan berita bahawa 700 pemegang biasiswa JPA telah dibekukan pada tahun 2016 akibat kegawatan ekonomi dan penurunan pendapatan kerajaan. KEADILAN membantah keputusan kerajaan tersebut. KEADILAN berpendapat bahawa pendidikan anak muda tidak boleh dimangsakan. Sebenarnya ada banyak tempat lagi yang boleh dipotong umpamanya Jemaah Menteri XXL Malaysia dan peruntukan raksasa Jabatan Perdana Menteri setinggi RM20.3 bilion. KEADILAN menuntut Perdana Menteri menunjukkan kepimpinan yang baik dengan mengurangkan menteri kabinet XXL dan peruntukan bajet JPM sebelum memangsakan pelajar-pelajar cemerlang kita.

Mengikut jawapan parlimen yang diterima oleh saya (rujuk attachment), kos penajaan seorang pelajar dalam negeri adalah di antara RM10,350 hingga RM12,690. Manakala anggaran kos penajaan bagi seorang pelajar tajaan luar negara adalah antara RM38,115 hingga RM363,844 setahun.

Kalau diambil purata yang lebih tinggi, purata kos penajaan seorang pelajar adalah RM200,975.50 (dengan mengambil kira kos tajaan luar negara sahaja). Jika dikalikan dengan 700 pelajar, maka ia memakan belanja RM140,685,650 sahaja. Jadi perbelanjaan untuk tajaan 700 pelajar baru untuk tahun 2016 adalah hanya RM141 juta.

Memandangkan pelajar-pelajar yang layak mendapat biasiswa ini adalah pelajar yang mendapat keputusan 9A+ dalam SPM, boleh dikatakan mereka adalah crème de la crème dalam negara kita. Maka melaburkan RM141 juta ke atas pelajar-pelajar ini adalah berbaloi kerana negara memerlukan bakat-bakat mereka untuk melonjakkan negara ke negara maju.

Sebenarnya, ada banyak lagi tempat-tempat yang boleh dipotong dalam bajet 2016. Jemaah Menteri Kabinet raksasa XXL Perdana Menteri Najib boleh dikurangkan lagi. Buat masa sekarang ada seramai 36 Menteri penuh, 33 Timbalan Menteri, 4 Penasihat Khas dan 4 Duta Khas yang mempunyai status menteri. Maka jumlah anggota-anggota ini telah mencecah 77 orang. Perbelanjaan mereka bukan murah dengan gaji, elaun, pejabat mereka, dengan setiausaha dan pegawai khas dan segala lawatan ke dalam dan merata dunia. Padahal Presiden Amerika Syarikat hanya melantik 15 orang menteri kabinet. Kabinet Malaysia ini adalah terlalu besar untuk sebuah negara kecil seperti Malaysia.

Jabatan Perdana Menteri juga terlalu raksasa. Pada masa sekarang, Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga mempunyai 92 jabatan atau agensi, 57 jabatan, 10 Badan Berkanun Persekutuan, 13 Syarikat, lima Agensi Pembangunan Koridor, lima Yayasan dan dua Pertubuhan Antarabangsa. Ini terlalu besar dan membazirkan.

Dalam bajet 2016, JPM mendapat perolehan bajet sebanyak RM20,309,880,400. Apabila semua peruntukan kementerian lain dipotong, ia melonjak kira-kira RM1 bilion berbanding bajet 2015. Banyak agensi di bawah JPM adalah bertindih dengan kementerian yang lain. Jika JPM dikonsolidasikan dengan Kementerian yang lain, banyak perbelanjaan boleh dijimatkan lagi.

Pebelanjaan ke atas pendidikan akan memulangkan manfaat yang besar kepada negara. Mengikut laporan OECD, pelaburan RM1 ke dalam pendidikan tinggi akan memulangkan RM6 dalam bentuk cukai. Dari segi sosial pula, ia memastikan negara maju dengan rakyat yang berpendidikan tinggi terutamanya pelajar lulusan universiti luar negara. RM141 juta untuk pelajar JPA adalah hanyalah 0.7% daripada jumlah keseluruhan RM20.3 bilion bajet JPM, tetapi ia mempunyai makna yang besar.

Sim Tze Tzin
Pengarah Strategi Parti KEADILAN
Ahli Parlimen Bayan Baru
21 Januari 2016