Kita kini sedang berhadapan saat yang amat luar biasa. Malaysia sedang dilanda ‘ribut badai’ yang cukup dahsyat dari segi politik dan ekonomi. Tanda-tanda perubahan yang seolah-olah hanya boleh berlaku “sekali dalam senggang generasi”, kalau pun tidak “sekali dalam seumur hidup” semakin kelihatan.
Besar kemungkinan, keadaan bakal menjadi lebih parah pada tahun 2016 sebelum perubahan kita kecapi.
1996 adalah tahun terakhir rakyat Malaysia menikmati kegembiraan yang benar-benar dirasai apabila kemajuan serta kemudahan hidup dikecapi tanpa henti. Krisis kewangan yang melanda Asia pada tahun 1997 telah memusnahkan semua yang dikecapi. Saya baru mencapai usia 19 pada tahun 1996.
Generasi seangkatan saya meninggalkan alam persekolahan dengan impian serta cita-cita yang tinggi menggunung, namun terperangkap dalam krisis, kebuntuan serta laluan sukar; senario yang terus menghantui Malaysia sehingga ke hari ini.
Di mana jua di dunia ini, politik dan ekonomi sentiasa memiliki perkaitan yang rapat. Begitu juga Malaysia. Kontradiksi dalam ekonomi lazimnya merupakan akibat langsung permasalahan struktur politik dan institusi negara.
Begitulah juga faktor-faktor ekonomi dan kewangan global menambah buruk lagi konflik politik di kalangan elit pemerintah.
Tiada sebarang perubahan besar sejak krisis yang lalu. Ekonomi Malaysia terus dibebani budaya merentir (rent-seeking) dan amalan rasuah yang terus meresap menjadi sebahagian dari sistem, kebergantungan tinggi terhadap buruh asing tidak mahir, dan terlalu bergantung kepada sumber minyak dan gas, komoditi dan juga sektor hartanah.
Sektor pembuatan menderita akibat “penyakit Belanda“ (Dutch disease) de-industralisasi awal (premature de-industrialization).
Kemahiran, gaji serta produktiviti yang rendah telah membentuk satu kitaran buruk yang mencirikan ekonomi Malaysia sejak dua dekad yang lalu.
Dengan latar belakang tersebut, Malaysia terus bergelut meredah tahun-tahun mendatang bermula sejak krisis kewangan global 2008 yang mana persekitaran pinjaman murah dan mudah lahir akibat dasar-dasar kewangan tidak konvensional yang dilakukan oleh Bank Negara Amerika Syarikat.
Kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), sektor swasta dan juga isi rumah keseluruhannya terlibat mengumpul hutang yang akhirnya menjadikan negara – secara kolektif – amat terdedah kepada perubahan iklim ekonomi dan kewangan global.
Sebagai contoh, hutang isi rumah di Malaysia pada tahun 2015 menghampiri 90 peratus daripada KDNK. Satu perempat daripada hutang isi rumah tersebut terdiri dari kalangan mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan – suatu petanda bahawa isi rumah membuat pinjaman untuk kegunaan harian mereka.
Empat isu yang bakal mencorakkan 2016
Harga minyak, GST, harga komoditi dan nilai matawang adalah empat faktor utama yang bakal mencorakkan politik Malaysia menjelang 2016.
Pertama, trend harga minyak yang tinggi sejak perang Iraq 2003 (yang memuncak pada tahun 2008 disebabkan Krisis Kewangan Global dan berterusan sehingga Amerika Syarikat melonggarkan dasar kewangannya pada tahun 2009) kini secara rasmi telah berakhir.
Semasa Bajet 2015 dibentangkan Oktober 2014, Brent (istilah rujukan harga minyak) telah dianggarkan pada kadar USD 105 setong. Kerajaan terpaksa menyesuaikan bajet pada bulan Januari 2015 untuk membawa anggaran harga Brent kepada USD 55. Bajet 2016 menganggarkan Brent adalah kira-kira pada kadar USD 48, walaupun ramai yang menganggapnya sebagai terlalu optimistik.
Perdana Menteri Najib Razak memulakan ucapan bajet beliau pada 23 Oktober 2015 yang lalu dengan mengakui bahawa hasil petroleum adalah berjumlah RM62 bilion pada tahun 2014, dan dijangka RM 44 bilion pada tahun 2015 manakala jangkaan 2016 sebanyak RM 31.7 bilion.
Penurunan hasil minyak yang mendadak telah mengekang keupayaan kerajaan untuk mengagihkan pemberian kepada projek-projek UMNO dan lobi kontraktor mereka, hal ini pada satu tahap akan mengakibatkan pemberontakan dalaman terhadap kepimpinan UMNO itu sendiri.
Bagi rakyat biasa pula, kejatuhan hasil minyak bermakna penurunan perkhidmatan kerajaan untuk rakyat, pada masa sama rakyat akan berhadapan lebih banyak cukai yang bakal dikenakan.
Kedua, masalah yang dikaitkan dengan GST. Apabila menggariskan permasalahan berkaitan hasil minyak, Najib – dalam masa yang sama – berkata bahawa hasil kutipan daripada GST telah membantu untuk menampung sebahagian besar daripada kekurangan kewangan yang dihadapi.
“Berdasarkan pengiraan Kerajaan untuk tahun 2016, jika GST tidak dilaksanakan dan kita terpaksa bergantung kepada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST), hasil Kerajaan akan menjadi lebih rendah iaitu sebanyak RM21 bilion. Jika SST dikekalkan, kutipan akan menjadi hanya RM18 bilion berbanding hasil GST sebanyak RM39 bilion.”
Dalam erti kata lain, rakyat Malaysia kini dikenakan cukai yang lebih sebanyak RM21 bilion yang secara langsung akan mengurangkan pendapatan boleh guna dan kuasa beli bagi sesebuah keluarga. Keadaan ini turut bermaksud penguncupan terhadap aktiviti ekonomi domestik dan potensi pengurangan kutipan cukai korporat oleh Kerajaan – satu keadaan ibarat menabur pasir ke dalam periuk.
Di Malaysia, lebih daripada 60 peratus keluarga dikelaskan sebagai berpendapatan rendah dan menerima pemberian BR1M. Kini buat pertama kalinya dalam hidup, mereka terpaksa membayar cukai. Keadaan ini akan akan mengakibatkan kesan politik yang besar.
Ketiga, harga komoditi yang rendah. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa harga minyak sawit adalah lebih terikat dengan nasib pilihan raya UMNO berbanding minyak itu sendiri.
UMNO memenangi 88 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2013 yang lalu. 73 daripadanya adalah di Semenanjung manakala 35 daripada 73 kerusi tersebut terutamanya yang terletak di daerah separa bandar dari negeri-negeri pantai barat, adalah kerusi marginal.
Peralihan (swing) 10 peratus undi kepada pembangkang akan menamatkan riwayat UMNO dari tampuk kuasa. Minyak sawit adalah satu juzuk utama dari aspek ekonomi di kawasan-kawasan kerusi marginal. Minyak sawit juga merupakan komoditi politik yang penting di kubu kuat UMNO yang masih wujud ini kerana mereka diperkaya oleh Skim FELDA.
Minyak sawit dan harga komoditi yang lain adalah tinggi pada tahun-tahun pilihan raya umum 2004, 2008 dan 2013, yang memberi jaminan sokongan separa bandar dan luar bandar kepada UMNO. Fenomena harga minyak tinggi ini tidak lagi wujud.
Keempat, penurunan nilai mata wang. Ringgit telah menjunam sebanyak hampir satu perempat berbanding dolar AS pada tahun lalu. Jika ekonomi AS menjadi bertambah baik, kemungkinan akan memberikan kesan positif ke atas eksport Malaysia.
Tetapi Malaysia hanyalah salah satu daripada negara pengeksport yang terpaksa bersaing untuk mengeksport ke Amerika Syarikat dan juga bersaing untuk menurunkan nilai mata wang mereka.
Di samping itu, bakal peningkatan dalam eksport tidak akan mampu mengimbangi kemerosotan dalam jangkaan penyusutan nilai Ringgit.
Kenaikan kadar AS kemungkinan bermakna dolar AS menambah nilai berbanding mata wang yang ada di pasaran yang baru muncul seperti Malaysia. Inflasi Import mungkin menjadi masalah, namun rakyat biasa akan terhimpit manakala kos meningkat bagi syarikat-syarikat. Kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dan isi rumah dengan hutang yang tinggi terpaksa berhadapan risiko.
Pengetatan kecairan global pastinya menjejaskan unjuran spekulasi hartanah. Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, GLC dan GLIC yang telah berkembang menerusi pergantungan kepada cukai dan pendapatan daripada pembangunan hartanah berpotensi untuk berhadapan krisis kewangan lebih awal daripada yang dijangkakan, apatah lagi individu yang memiliki pelbagai unit hartanah untuk tujuan spekulasi.
Kerajaan tampaknya sangat lemah kesan daripada faktor ekonomi politik sepertimana yang telah digariskan di atas ditambah lagi skandal peribadi melibatkan Najib dan isu-isu yang timbul dari skandal 1MDB.
Perdana Menteri bukan sahaja tidak memiliki keazaman politik bahkan tidak juga memiliki modal politik untuk melakukan pembaharuan struktural. Tahun hadapan seakan-akan menyaksikan keadaan bakal bertambah parah sebelum ia kembali pulih. – Roketkini.com
*Penulis merupakan Ahli Parlimen Kluang