‘Rakyat Kelantan masih susah, tak perlu naik gaji YB’
Kenaikan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), kelantan yang diluluskan minggu lalu bukan sahaja dikritik oleh rakyat namun mendapat kritikan dari Adun Salor YB Datuk Husam Musa.
Menurut Husam, walaupun kos hidup dan tuntutan perkhidmatan semakin meningkat serta memerlukan kenaikan elaun namun ramai juga rakan-rakan Adun berasa serba salah menerima kenaikan berkenaan.
Katanya, Adun merasa segan untuk menghadapi pengundi kerana rakyat masih susah, Adun pula naik gaji.
“Mungkin pilihan terbaik ialah tindakan reverse – memotong gaji demi kebersamaan bersama rakyat.
“Tetapi nampaknya sukar. Menaikkan elaun Adun dari satu segi, adalah tangga untuk menaikkan elaun Exco, Tmb dan juga MB. Sama-sama naik.
“Mengambil kira pandangan dan perasaan sebahagian rakyat, apa yang mungkin boleh dilakukan oleh kerajaan ialah segera melunaskan semua tunggakan sebelum bayaran pertama kenaikan kepada Adun-Exco-MB dilakukan Januari depan,” kata Husam dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, jika hal itu tidak berlaku, maka guru YIK akan terasa hati. Begitu juga peserta Ladang Rakyat yang mesti dibayar penuh dividen untuk tahun 2015 bagi 12 bulan (bukan sepuluh bulan seperti cadangan).
“Rumah dihanyut bah pun belum ke mana, bukan? Tidakkah berkecil hati rakyat jelata kita yang kehilangan rumah semasa bah menunggu bulan demi bulan? Alih-alih, kita dulu menikmati gaji baru?
“Kenaikan elaun itu menunjukkan kewangan kerajaan adalah kukuh. Jika kewangan kerajaan sebenar kukuh, tidak mungkin semua tunggakan YIK tidak mampu dijelaskan.
“Saya agak, kerajaan Kelantan akan berjaya melakukannya. Jika tidak, imej kerajaan sukar dibaiki,” ujarnya.
Husam turut menolak laporan Bernama menyebut 45 Adun Kelantan bersetuju sebulat suara kerana beliau sendiri tidak hadir ketika sesi undian usul berkenaan.