Isu hak cipta TPPA halang rakyat akses maklumat, pendidikan



Isu hak cipta TPPA halang rakyat akses maklumat, pendidikan

Isu hak cipta TPPA halang rakyat akses maklumat, pendidikan


Gabungan kumpulan Bantah TPPA mendakwa peruntukan TPPA seperti terkandung dalam teks yang diedarkan kepada umum pada 5 November lalu akan menjejaskan hak asasi rakyat Malaysia untuk mengakses maklumat dan pendidikan yang mampu milik.

Pengerusi Bantah TPPA, Mohd Nizam Mahshar dalam kenyataannya hari ini berkata, peruntukan Hak Cipta yang terkandung di dalam Bab Harta Intelek dokumen TPPA akan memberi pelbagai implikasi negatif antaranya lanjutan pemilikan hak cipta sehingga 70 atau 95 tahun selepas kematian seseorang penulis berbanding 50 tahun sebelum ini.

Selain itu, beliau mendedahkan di bawah TPPA, aktiviti bukan komersial akan menjadi satu jenayah berbeza dengan Akta Hak Cipta 1987 sedia ada yang hanya mengenakan tindakan undang-undang ke atas pihak yang melanggar akta bagi tujuan atau aktiviti komersial.

“Seterusnya, mereka yang menggunakan hasil karya orang lain bagi menyampaikan ilmu atau menuntut ilmu seperti penyelidik, pensyarah, guru dan pelajar serta pustakawan/perpustakaan yang mengendalikan aktiviti ilmuwan akan menghadapi risiko dihadapkan ke mahkamah dan boleh didenda dan dipenjara bagi kesalahan melanggar undang-undang hak cipta dan penggunaan harta intelek tanpa kebenaran khusus, walaupun bukan untuk pulangan komersial/finansial,” ujarnya.

Nizam turut memberitahu penetapan jumlah ganti rugi di bawah TPPA juga tidak adil selain Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) harus menjadi ‘Polis Hak Cipta’ apabila TPPA memberikan kuasa kepada ISP untuk mengeluarkan atau menghalang akses kepada bahan tersebut sejurus pihak ISP mengetahui sesuatu bahan mempunyai potensi untuk disabit dengan kesalahan melanggar hak cipta.

“Ini bermakna bahan pendidikan atas talian (online) boleh dihalang penggunaannya dengan serta-merta walaupun akhirnya terbukti atau boleh dibuktikan bahawa tiada pelanggaran hak cipta telah berlaku,” jelasnya.

Memandangkan terdapat banyak lagi peruntukan Bab Harta Intelek mengikut dokumen TPPA dibimbangi akan memberi kesan buruk pada masa akan datang, beliau menyeru agar kerajaan agar tidak menandatangani TPPA demi kesejahteraan negara dan generasi seterusnya.

“Amaran yang telah kami berikan sejak Malaysia duduk di meja rundingan beberapa tahun yang lepas mengenai impak TPPA kepada kesejahteraan negara dan rakyat kini menjadi kenyataan.

“Bantah (TPPA) berpandangan bahawa peruntukan tambahan tidak diperlukan, terutama sekali yang dikenakan ke atas Malaysia oleh TPPA,” ujar Nizam lagi.


No comments: