Laluan sukar undi tak percaya, pembangkang gagal bersatu
Oleh: A Jauhari Majed
ULASAN: Sukar untuk menentukan nasib usul undi tidak percaya ke atas PM Najib Razak sekiranya berpandukan pengundian usul penggantungan selama 6 bulan ke atas ahli parlimen (MP) veteran DAP Lim Kit Siang, semalam.
Dalam pengundian itu, jumlah ahli parlimen BN yang menghadirkan diri adalah ‘cukup makan’ untuk memastikan undi mereka lebih banyak daripada MP pembangkang yang menang 89 kerusi parlimen pada pilihan raya umum (PRU) 2013 lalu.
BN menghadirkan 97 ahli parlimen. Sekiranya kesemua pembangkang mengundi menolak usul menggantung Kit Siang maka mereka tetap akan kalah. Namun situasi sebaliknya berlaku apabila BN mendapat tambahan undi pula. Keputusan menunjukkan usul menggantung Kit Siang disokong 107 undi manakala yang membantah (pembangkang) 77 undi sahaja.
Kerjasama Umno – Pas
Banyak pihak terutama penyokong BN mendakwa kelebihan 10 undi itu datangnya dari MP Pas yang bencikan DAP dan menganggap mengundi menjatuhkan Kit Siang sebagai tindakan suci.
Beberapa tulisan di facebook dari pimpinan Umno, terutama Dr Asyraf Wajdi Dusuki memuji MP Pas dan merasa gembira bermulanya kerjasama Umno – Pas.
Kenyataan Setiausaha Agung Pas Takiyudin Hassan semalam, bahawa parti itu mengundi menentang kezaliman terhadap Kit Siang tidak langsung membantu keadaan.
Namun penganalisis politik mendakwa, bukan Pas sahaja yang boleh melakukan pengkhianatan sedemikian rupa, MP PKR juga mampu melakukannya.
Segelintir MP PKR mengutuk DAP kononnya menyebabkan Pas merajuk. Sebahagian mereka masih berfantasi Pakatan Rakyat masih wujud antara PKR dan Pas. Oleh itu, tidak mustahil seorang dua ahli parlimen PKR mengundi menentang Kit Siang.
Tindakan bodoh
Tindakan pengkhianatan ini adalah kelakuan yang sangat bodoh dari pihak yang tertindas. Ketika rejim BN mengenakan tekanan ke atas pembangkang, menyalah guna peraturan Dewan Rakyat dan tidak menghormati undang-undang yang mereka sendiri luluskan; terdapat segelintir ahli parlimen dari kelompok yang ditindas itu menjual rakan senasib demi memuaskan nafsu.
Mereka boleh berhujah atas nama Islam, tahaluf siyasi atau membalas dendam kehancuran Pakatan Rakyat tetapi ‘menjual rakan sesama kambing kepada serigala’ untuk dirobek adalah perbuatan memalukan dan tidak patut dilakukan oleh manusia yang mempunyai akal waras.
Adakah ahli parlimen jenis ini boleh diharapkan untuk mengundi menentang Najib apabila dibentangkan usul undi tidak percaya kelak?
Secara teknikalnya pembangkang perlukan bantuan dari 24 ahli parlimen BN untuk meluluskan usul tersebut. Pembangkang – kecuali MP Khalid Ibrahim – hanya ada 87 kerusi sahaja. Namun dengan perkembangan terbaharu, adalah merbahaya mengharapkan bantuan 16 ahli parlimen Pas. Oleh itu, Pakatan Harapan perlu menolak bantuan Pas. Jumlah yang diperlukan oleh mereka meningkat ke sekitar 41 MP BN.
Mampukah Dr Mahathir atau Tengku Razaleigh Hamzah memujuk 41 MP BN mengundi menentang Najib bagi mendapatkan majoriti mudah 112 kerusi daripada 222 kerusi parlimen, dengan andaian semua MP hadir? Tentu sekali mustahil.
Hanya BN jatuhkan BN
Oleh itu, adalah lebih baik pembangkang melupakan sahaja usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat. Sebaliknya, memberi laluan kepada strategi Ku Li yang berkata Najib boleh dijatuhkan di luar parlimen.
Caranya, hanya Ku Li yang tahu. Apakah seperti menjatuhkan MB Selangor Khalid Ibrahim pada 2014 atau Ku Li ada cara lain. Pembangkang tidak akan berjaya dalam apa jua bentuk usul kerana mereka terbukti sanggup menikam belakang antara satu sama lain. Hanya BN yang boleh menjatuhkan orang BN.
Bagi PKR situasi yang berlaku di parlimen semalam sepatutnya membuka mata presiden Dr Wan Azizah. Mana-mana MP yang tidak setia dengan agenda parti – jika dakwaan dikenal pasti – mesti direhatkan daripada bertanding mana-mana kerusi parlimen dalam PRU akan datang.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan bukannya pendirian rasmi Suarapakatandaily