Berakhirnya hubungan PAS dan DAP, adakah agenda lebih besar?

Berakhirnya hubungan PAS dan DAP, adakah agenda lebih besar?
Berakhirnya hubungan PAS dan DAP, adakah agenda lebih besar?

Berakhirnya hubungan PAS dan DAP, adakah agenda lebih besar?

Sebaik sahaja PAS menamatkan hubungan dengan DAP lewat keputusan Muktamar penuh semalam maka rakyat tertanya-tanya apakah agenda seterusnya puak ulama dalam parti itu?

Sekurang-kurangnya keputusan muktamar itu telah memberi kesedaran kepada puak profesional PAS yang berdegil mempertahankan kepimpinan PAS, tidak kira ulama atau puak Erdogan. Terutama Dr Dzulkifly Ahmad yang berkeras tidak percaya puak ulama telah membuangnya daripada hierarki kepimpinan.

Dr Dzul berkata, usul Dewan Ulama memutuskan hubungan dengan DAP boleh dibahaskan dalam Muktamar penuh. Ternyata tidak ada siapa yang mahu mendengar hujah Dr Dzul, perwakilan memutuskan hubungan tanpa bahas. PAS telah masuk ke dalam lubuk ekstrem. Mereka tidak lagi berfikir tetapi mengikut emosi dan yakin mampu memerintah negara secara bersendirian.

Tidak ada masa untuk berbahas. Masa yang ada ialah untuk mengira jawatan dalam kerajaan. Sekiranya tidak boleh bersama PR maka boleh diusahakan bekerjasama dengan BN memerintah Selangor, Perak, Kedah dan Terengganu. Cuma adakah BN mahukan PAS di Kedah, Terengganu dan Perak?

Grand design?

Situasi yang berlaku dalam Muktamar, senarai pemimpin yang wajib dipangkah diberi kepada perwakilan dengan tidak dibantah oleh pemimpin tertinggi parti bukanlah suatu perancangan kecil atau kebetulan.

Tidak mungkin puak tertentu merampas demokrasi jika tidak mempunyai grand design tertentu. Hudud bukan sebahagian daripada grand design itu kerana sehingga ke hari ini, selepas PR sudah punah ranah pun speaker Dewan Rakyat masih tidak memberi jaminan Hudud akan diterima untuk dibentangkan di parlimen.

Pertemuan beberapa ahli parlimen PAS minggu lalu bersama Pandikar Amin Mulia hanya berakhir dengan perkataan ‘tunggu kelulusan Putrajaya’. Speaker sepatutnya mempunyai jawapan pasti dan tidak perlu menanti arahan kerajaan BN kerana kuasa untuk memutuskan pembentangan rang undang-undang adalah kuasa beliau. Jika begitu apakah grand design itu?

Persempadanan semula

Tidak mustahil grand design yang dirancang adalah persempadanan semula pilihan raya. Umum mengetahui perubahan sempadan dengan menambahkan parlimen dan DUN baru hanya boleh dilakukan apabila 2/3 Dewan Rakyat meluluskannya. PR memberi syarat, sokongan hanya akan diberi sekiranya SPR telus dalam proses persempadanan semula.

Sedangkan persempadanan itu digunakan BN untuk memastikan mereka terus memerintah. Namun PAS sejak setahun lalu memberi isyarat akan menyokong persempadanan semula asalkan Kelantan diberi tambahan kerusi. Mungkin ada perundingan antara PAS dan BN dalam isu persempadanan ini.

Cuba tidak jelas sampai ke tahaf mana perundingan itu. Sama ada persetujuan untuk menyokong sahaja atau dengan memastikan PAS juga bakal mendapat lakaran tertentu kawasan selamat dalam proses persempadanan itu kelak?

Keadaan tersebut tidak boleh dinafikan apabila PAS semakin tidak boleh dikawal dan dirampas oleh puak radikal. Impian PAS sekarang kelihatannya bukan lagi memperjuangkan isu rakyat seperti penyelewengan dana awam oleh BN, GST, kenaikan kos hidup dan sebagainya. Tetapi telah balik ke era Asri Muda iaitu mengidamkan jawatan menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC.

Kerajaan campuran

Akhirnya, benar apa yang dikatakan oleh Khalid Samad bahawa puak Erdogan dalam PAS dimusuhi sejak 2008 kerana tidak bersetuju dengan idea menubuhkan kerajaan campuran PAS –BN, dan setia dengan idelogi Anwar menetang BN secara ‘biar putih tulang, jangan putih mata’

Pemimpin pro Umno dalam PAS setuju dengan kerajaan campuran yang mana di negeri PAS berkuasa maka isu keagamaan dilebihkan dan di negeri BN berkuasa maka PAS tidak akan campur tangan. Bukan Melayu akan ditekan dan diberi syarat menerima apa sahaja yang diputuskan oleh pemimpin Melayu dalam hal-hal agama dan kehidupan.

Puak tersebut setuju agar negara balik ke era 1970an yang mana Cina dan India takut dengan kekuatan Melayu dan tidak mempersoalkan apa pun yang diputuskan pemimpin Melayu. PAS juga tidak mahu tahu negara akan ketinggalan berbanding Indonesia dan Thailand apabila menerima pemerintahan kuku besi BN.

Aliran politik dunia

Corak perjuangan ini tidak direlakan oleh puak profesional kerana bertentangan dengan aliran politik arus perdana dunia. Corak politik seperti itu boleh diyakinkan kepada puak ulama sebagai memelihara keharmonian negara daripada pelampau dan memelihara agama. Namun puak profesional yang lebih terbuka faham politik tertutup akan memudahkan agen-agen barat meniupkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Corak tertutup menyebabkan diktator Afrika Utara seperti Mubarak, Gadafi dan Zainal Abidin tumbang dalam revolusi yang dirancang kuasa Barat. Hanya corak yang lebih terbuka seperti pembangkang yang berkesan mampu memberi harapan kepada rakyat kononnya sistem boleh diubah melalui pilihan raya.

Ulama PAS tidak sedar semua itu. Sedangkan profesional sedar ekonomi perlu diambil kira. Sekali BN dan PAS bersatu, pelaburan Cina akan meninggalkan negara, maka orang Melayu yang menyokong PAS dan BN akan mempersoalkan mereka.
Lebih buruk, revolusi walaupun tidak pernah terjadi di Malaysia tetapi pernah berlaku di Filipina, Indonesia dan Thailand. Jiran-jiran terdekat negara ini.

Jadi, bagi mereka harapan rakyat perlu disuburkan dan digalas. Oleh kerana puak ulama tidak sealiran dan sengaja memusnahkan PR maka politik Malaysia akan masuk ke fasa baharu selepas ini. PAS masuk ke fasa kerjasama lebih erat dengan BN dan rakyat pula akan masuk ke fasa yang lebih tidak terurus.

Cuma satu harapan kepada puak profesional, sekiranya ingin terus berjuang mengutamakan rakyat maka mereka perlulah menubuhkan parti baru. Tiada cara lain mengisi lompang kuasa yang ditinggalkan PAS dalam PR selain parti Islam yang sederhana.


Artikel ini adalah pendapat penulis, pukul canang dan bukannya pendapat rasmi suarapakatandaily

No comments: