Perpecahan PAS punca utama kekalahan Pengkalan Kubur

OLEH : AMIRULMUKMININ








PAS menafikan perpecahan dalaman sebagai punca utama kekalahan parti itu dalam pilihan raya kecil Pengkalan Kubor. Bagaimanapun, bersetuju faktor utama tidak kembalinya pengundi anak perantau telah menjejaskan peluang parti itu untuk menundukkan Umno.
Kelemahan  itu sewajarnya menyedarkan PAS mengenai realiti perjuangan. Anak perantau tidak merantau dan bekerja di Terengganu yang mana PAS muncul sebagai kuasa terhebat dan tidak memerlukan Pakatan Rakyat sebagai rakan politik.

Sebaliknya anak rantau berada di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Baharu dan Pulau Pinang. Kota-kota ini jelas perjuangan Pakatan jauh mengatasi perjuangan walak sempit PAS. Apabila PAS mengakui anak rantau tidak kembali maka mereka harus sedar sikap berdolak-dalik Presiden Hadi Awang dan kepimpinan ulama dalam kemelut politik Selangor sebagai penyumbang terbesar kehilangan sokongan anak perantau terhadap parti agama itu.

Mungkin pemimpin PAS Pantai Timur apabila turun ke bawah, para pengikut PAS masih lagi berbisik mereka akan walak walau apa pun terjadi. Walaupun Hadi mencaci pemimpin Pakatan, ia tidak menjadi masalah kepada golongan tersebut.

Tetapi sekiranya pemimpin PAS bertanya penyokong mereka di Pantai Barat maka telinga mereka akan panas dengan kritikan pedas, kepimpinan ulama telah merosakkan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan yang diharap akan mengganti BN. Maka sudah tentu anak perantau yang lebih terdedah dengan pemikiran politik Pantai Barat tidak bersetuju dengan pemimpin PAS Pantai Timur dan membiarkan mereka bersendirian melawan BN seandainya benar PAS hebat.

Kekalahan di Pengkalan Kubor juga merupakan langkah ‘terjun jurang’ kepada puak UG. Calon PAS yang bertanding ialah Wan Rosdi Wan Ibrahim, seorang penyelaras DUN dan dikatakan disenangi oleh pengundi di kawasan tersebut melalui perkhidmatannya. Tetapi mengapakah beliau kalah lebih teruk berbanding calon PKR sebelum ini?

Ketika PKR bertanding, calon mereka hanya kalah dengan 1700 undi majoriti tetapi calon PAS kalah 2,600 undi. Sebelum pilihan raya Menteri Besar Ahmad Yaakob, Timbalan MB Nik Amar, Hadi, Tuan Ibrahim dan lain-lain semuanya meramalkan Rosdi akan menang atau sekurang-kurangnya merapatkan jurang majoriti PAS.

Ada dua perkara yang jelas daripada kekalahan PAS ini. Pertama, selepas pemimpin UG PAS mencaci PKR, rakyat Kelantan sendiri melihat PAS tidak ada masa depan lewat ancaman untuk keluar Pakatan berulang-kali.

Bagi mereka, tanpa Pakatan PAS akan kembali ke zaman lama yang tidak terbuka. Tiada lagi ciri-ciri moderat, dinamik, akauntabiliti dan sebagainya. Pemerintahan PAS akan kembali ke era ala kadar dan tanpa perancangan masa depan yang baik.

Oleh ketana itu, penyokong PAS lebih mudah mengundi BN yang mampu memberi pembangunan dan membelanjakan kewangan yang banyak kepada rakyat. Strategi BN ini hanya mampu dilawan oleh Pakatan. Dengan imej kepimpinan Anwar Ibrahim dan rakan-rakan beliau dalam DAP maka harapan rakyat lebih menyerlah untuk menyaksikan BN digantikan oleh sekumpulan pentadbir yang lebih baik.

Kedua, kekalahan PAS juga adalah kerana kurangnya perancangan pembangunan oleh kepimpinan ulama Kelantan. Memang Nik Aziz juga seorang ulama, tetapi beliau lebih proaktif dan progresif. Beliau tidak bermasalah untuk bekerjasama dengan Husam Musa dalam merancang pembangunan Kelantan. Hasilnya adalah Bandar Baru Tunjung, pembinaan stadium baru dan pelbagai prasarana yang menaikkan imej Kota Bharu.

Pentadbiran Ahmad Yaakob dilihat hanya mengikut pelan bercita-cita tinggi Husam tanpa melakukan sesuatu yang baru. Bagi rakyat, petanda kelemahan PAS sudah tiba. Dan sepertimana diakui oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, bahawa tanpa pengundi anak rantau maka Kelantan mungkin jatuh ke tangan BN.

Pengajaran yang perlu diambil dari peristiwa Pengkalan Kubur ialah pengaruh PAS di Kelantan telah sampai ke penghujung. Strategi yang mereka amalkan tidak sesuai. Apatah lagi Kelantan telah masuk ke dalam perangkap Umno dan berkerjasama ingin meluluskan undang-undang Hudud di peringkat persekutuan.

Apabila Umno juga inginkan Hudud maka dosa mengundi Umno telah lupus. Fatwa yang terpakai di kalangan penyokong PAS, Umno adalah sekular dan berdosa mengundi mereka lenyap apabila Umno juga inginkan undang-undang Islam. Jadi dengan itu lebih baik rakyat Kelantan mengundi Umno yang mewah serba serbi berbanding kerajaan PAS yang hanya mengharap peruntukan Persekutuan tanpa berusaha sendiri mencari sumber kewangan.

PAS hanya akan selamat apabila mereka berjuang bersama Pakatan. Tetapi dengan perangani Ahmad Yaakob dan Nik Amar yang setuju parti itu menghentam Anwar, Azizah dalam krisis Selangor, tiada rakyat Kelantan percaya PAS akan bekerjasama baik dengan Pakatan selepas ini.

PAS perlu sedar sekelilingnya telah jauh berubah. Mereka juga perlu berubah dan tidak mengutamakan ijtihad ulama untuk menang. Hadi telah luput tarikh. Dia kalah mentadbir Terengganu. Faktor Hadi mempertahankan Azizan Razak juga punca kekalahan di Kedah.

Tetapi jika PAS hanya inginkan gerakan agama dan tidak mahu memperbaiki diri dalam pemerintahan maka lebih baik ia bertukar menjadi gerakan tabligh. Sekurang-kurangnya rakyat tidak perlu membantah jika tidak selesa dengan perjuangan sebuah pertubuhan dakwah.

No comments: