SHAH ALAM 15 OGOS : Pekeliling yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bersabit hukum membaca Al- Quran sebelum waktu Subuh menggunakan pembesar suara adalah salah disisi syarak', adalah pemberitahuan bukannya arahan mutlak, menurut Exco Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim.
Justeru beliau berkata, terpulang kepada kebijaksanaan pengurusan masjid dan surau seluruh negeri itu, sama ada mahu menerima pemberitahuan tersebut ataupun tidak.
"Ini bukan surat arahan tetapi surat surat pemberitahuan untuk masyarakat setempat mengamalkannya, di dalam kehidupan bermasyarakat.
"Terpulanglah kepada masjid- masjid dan surau untuk melihat keputusan ini dan menerima keputusan jawatankuasa fatwa tersebut," tegasnya.
Malik menjelaskan hukum tersebut diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri sejak April lalu dan hanya disahkan pada bulan Jun 2011.
Tambahnya lagi, mesyuarat jawatankuasa itu dipengerusikan mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad dan disertai ulama, professional agama serta wakil daripada istana.
Keputusan itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang untuk dihebahkan kepada setiap masjid dan surau dinegeri ini.
"Keputusan itu kemudiannya disampaikan kepada Jabatan Agama Islam untuk dipanjangkan sebagai maklumat kepada masjid- masjid," katanya.
Keputusan tersebut dicapai setelah mendapati bacaan ayat suci Al- Quran sebelum waktu Subuh menggunakan pembesar suara mengganggu masyarakat setempat dan menerbitkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat berbilang bangsa.
Mengulas tindakan sesetengah pihak yang mengaitkan kerajaan negeri dengan keputusan tersebut, Malik menegaskan kerajaan negeri tidak pernah campur tangan dalam isu tersebut berikutan ia adalah dibawah bidang kuasa majlis fatwa.
"Perkara ini langsung tidak ada kena mengena dengan kerajaan negeri dan tidak pernah dibincangkan pada mana- mana peringkat," jelasnya.
Malik kemudiannya membacakan kepada Tv Selangor, surat pekeliling yang ditandatangani Pengarah Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang bertarikh 3 Ogos 2011.
Pekeliling itu menyebut, Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang, bilangan 2/2011 yang diadakan pada 7 April 2011 memutuskan bahawa bacaan Al- Quran dengan pembesar suara daripada masjid dan surau adalah dilarang menurut hukum syarak'.
Turut disertakan catitan minit mesyuarat Jawatankuasa Fatwa perkara 6.2 untuk perhatian dan tindakan susulan Jabatan Agama Negeri.
"Sehubungan dengan itu dipohon kerjasama tuan- tuan supaya menampal surat pekeliling berserta cabutan minit supaya umat Islam setempat memahami hukum tersebut sekaligus mengamalkan didalam kehidupan bermasyarakat," ujar Malik ketika membaca surat pekeliling tersebut.
Keputusan jawatankuasa fatwa itu disokong Mufti Perlis Dr. Juanda Jaya dengan berkata amalan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum waktu subuh adalah bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur.
Turut menyokong tindakan itu adalah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan bekas mufti Perlis Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.