KUALA LUMPUR 22 OGOS : Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali hari ini menegaskan beliau akan tetap dengan pendirianya bahawa Umno terlibat dalam pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya awal bulan ini.
Malah, beliau bersedia untuk bertemu parti Melayu terbesar itu di mahkamah.
Menurut Mustafa, beliau juga tidak akan memohon maaf atau menarik balik dakwaan dilemparkan terhadap Umno sebelum ini.
Sebaliknya, beliau tetap bertegas untuk mempertahankan dakwaannya itu.
“Kita jumpa di mahkamah, kalau nak saman itu hak dia (Umno Selangor), saya tidak akan minta maaf dan saya kekal dengan pendirian saya sebelum ini, kita jumpa di mahkamah,” katanya dipetik The Malaysian Insider.
Tegasnya lagi, beliau akan mengemukakan bukti itu ke mahkamah.
“Saya akan kemukakan bukti ke mahkamah jika dibawa ke mahkamah,” ujarnya.
Hari ini, Umno Selangor berkata pihaknya akan memfailkan saman RM10 juta terhadap Mustafa berhubung dakwaan kononnya parti itu memainkan peranan dalam tindakan Jais ke atas pemeriksaan di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.
Menurut Setiausaha Umno Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, selain Mustafa, pihaknya juga akan mempertimbangkan pihak-pihak lain dalam saman yang akan difailkan selepas Aidilfitri.
Awal minggu lalu, Mustafa dalam satu sidang media di Kuala Terengganu mendakwa Umno berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama.
Beliau juga mengatakan Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan Jais yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja itu.
Tambah Mustafa, beliau sedia mendedahkan maklumat campur tangan Umno kepada Pengarah Jais Marzuki Hussin pada satu pertemuan yang dijadual untuk diadakan minggu lalu.
Tetapi ia ditangguhkan buat sementara waktu sehingga siasatan Jais selesai.
Gereja Methodist Damansara Utama menjadi tumpuan sejak beberapa minggu lalu selepas Jais melakukan pemeriksaan ke atas satu majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di premis itu.
Jais berkata tindakan mereka hanya bersifat pemeriksaan tetapi pengurusan gereja mendakwa agensi itu melakukan serbuan.