PKR Kutuk Penahanan ISA Keatas OKU






Parti keadilan Rakyat (PKR) mengutuk penahanan seorang rakyat Malaysia, Kadir Hashim dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kadir Hashim yang juga seorang OKU (orang kurang upaya) dikatakan terlibat dengan aktiviti militan di Cambodia.

Presiden PKR, Datuk Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan medianya menegaskan, Kadir perlu dibawa ke muka pengadilan dan bukannya ditahan tanpa bicara apatah lagi mangsa adalah seorang OKU.

Azizah berkata, desakan rakyat supaya kerajaan memansuhkan akta zalim itu langsung tidak diendahkan kerajaan persekutuan bahkan parti pemerintah itu semakin angkuh menahan rakyat Malaysia dengan menafikan hak mereka untuk dibicarakan.

Desakan memansuhkan akta itu turut didokong kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang sebulat meluluskan usul Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menerusi sidang dewan undangan negeri (DUN) Selangor, Jumaat lalu.

Tambah Azizah lagi, jika terbukti Kadir bersalah dan terlibat dengan aktiviti militan itu, banyak akta dan undang- undang yang boleh digunapakai untuk menghukum Kadir umpamanya, Akta Polis, Kanun Keseksaan dan banyak lagi.

Azizah turut menyifatkan penahanan Kadir sengaja digembar gemburkan demi menenggelamkan isu- isu panas yang dibangkitkan Pakatan Rakyat pada pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak, 16 April ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 April ini sebagai tarikh penamaan calon.