Redzuan Shamsudin
Pindaan Akta Pengangkutan di Parlimen pada hujung 2010 lalu dilihat tidak lebih daripada usaha kerajaan untuk mengambil lebih banyak wang rakyat. Hal itu ditegaskan oleh Naib Presiden PAS yang juga ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dalam majlis pelancaran Kempen Penerangan Saman Ekor di Taman Bolton, Batu Caves, Selangor, semalam.
Menurut Mahfuz, kerajaan Barisan Nasio nal yang kekurangan wang sanggup meminda akta pengangkutan jalan demi mengutip nilai saman sebanyak RM15 juta dari 4 juta pemilik kenderaan. Sedangkan kesalahan dibuat sebelum akta diluluskan yang mana amat bertentangan dengan undang-undang negara.
“Apa yang diberi (secara pos) kepada pemilik kenderaan selama ini hanyalah notis pemberitahuan kesalahan memandu melebihi had laju. Bukannya saman seperti yang dinyatakan oleh kerajaan.
“Kalau disaman pemilik tentunya diminta hadir ke mahkamah. Sedangkan sampai hari ini tidak ada siapa yang disaman di mahkamah. Tetapi pemilik kenderaan itu disenarai hitamkan. Tidak boleh sambung cukai jalan dan lesen memandu. Bukan sahaja yang berkaitan dengan polis dan JPJ, saman meletak kereta oleh PBT juga dimasukkan.
“Sebelum pindaan akta, tidak ada pun peruntukan undang-undang yang membenarkan bukti bergambar yang diambil menggunakan kemera perangkap had laju boleh dijadikan bukti di mahkamah. Sebab itu polis tidak berani saman pemilik kenderaan ke mahkamah kerana mahkamah akan membebaskan mereka
“Bulan Disember baru dimasukkan rakaman gambar boleh dijadikan bahan bukti. Maka tentunya notis kesalahan ke atas pemilik kenderaan terdahulu menjadi tidak sah. Di parlimen saya katakan bukti yang dirakam selama ini tidak mengikut undang-undang. Oleh itu kes kompaun ke atas 4 juta pemilik kenderaan ini mestilah dilupus kira,” tegas Mahfuz di hadapan 2,000 hadirin.
Menurut beliau lagi, tempoh pembayaran kompaun berdiskaun 50 peratus dari bulan Julai tahun lalu sehingga Februari tahun 2011 disambut dingin oleh pemilik kenderaan kerana rakyat sedar mereka tidak diberikan keadilan dalam membela diri.
“Baru-baru ini Utusan siarkan berita pakcik tua dapat saman had laju atas nombor plat motorsikal berkuasa 500 cc. Sedangkan pakcik itu hanya ada motor 70cc dan sudah lama tidak digunakan. Kes-kes seperti ini perlu dibawa ke mahkamah untuk mencari keadilan. Juga terdapat beberapa kelemahan lain dalam sistem perakam had laju sedia ada.
“Begitu juga peraturan amaran kemera perangkap had laju dalam jarak 500 meter di 831 lokasi yang diluluskan dalam pindaan tidak diamalkan sebelum ini.
“Pindaan juga membenarkan JPJ mengambil tindakan ke atas kenderaan di kawasan persendirian. Maknanya orang yang pergi orang motong getah di jalan ladang pun akan di saman jika polis lalu di jalan itu. Begitu juga pemilik kenderaan yang menukar alamat tetapi tidak memaklumkan kepada JPJ akan diambil tindakan
“Inilah sebab kami menubuhkan KASE. Kerajaan hari ini lebih bergantung kepada kompaun dan saman dari kutipan lesen memandu dan cukai jalan,” katanya.
Dalam pindaan terbaharu kerajaan akan menggunakan automatic enforcements system (AES) untuk merakam had laju kenderaan. Kamera perangkap had laju yang dipasang akan menghantar data ke sistem pusat dan saman akan dikeluarkan secara elektronik. Bagi memudahkan pengesanan butir pemilik kenderaan, cip perlu dipasang di nombor plat kenderaan dan pemilik akan diarahkan membeli cip itu pada harga sekitar RM150. Peruntukan turut menetapkan pemilik kenderan yang dikompaun perlu menjelaskan denda dalam tempoh 60 hari, sekiranya gagal mereka akan dihadapkan ke mahkamah. Namun perkara yang paling dipertikaikan ialah penganugerahan kontrak AES ini kepada dua buah syarikat swasta berasaskan keuntungan, bukannya dilaksanakan oleh kerajaan melalui JPJ.
“Kerajaan kata bukan wang rakyat yang akan membeli kamera, pasang kamera dan sistem software. Tetapi ketua Pengarah JPJ kata telah beli dan pasang di 831 lokasi. Jadi jika 2 syarikat yang diberi kontrak ini mula beroperasi nanti tentu mereka akan gantikan pula kamera JPJ itu kerana mereka juga menyatakan akan memasang kamera. Jadi kamera JPJ yang dibeli menggunakan wang itu rakyat akan membazir.
“Begitu dengan komisyen kutipan saman. Ada tiga langkah; paling rendah 6 juta saman, 10 juta saman dan 15 juta saman. Untuk 6 juta saman atau kompaun RM300, syarikat akan mendapat komisyen 35 peratus. Lebih banyak saman maka lebih besarlah komisyen kepada syarikat. Bagi hanya 6 juta saman sahaja syarikat boleh mengaut komisyen RM1.8 bilion
“Kalau meter teksi boleh diubah untuk mengaut keuntungan lebih banyak, tidak ada jaminan syarikat tidak akan melakukan perkara sama untuk mendapatkan 6 juta saman atau saman yang lebih banyak. Kepakaran dan perisian dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat dan JPJ tidak ada kepakaran dalam sistem ini. Bagaimana untuk memantau sistem operasi perangkap had laju itu?
“Bagi saya ini adalah satu lagi projek untuk mengkayakan kroni yang ada hubung-kait dengan BN, dan wang perolehan tidak mustahil diberikan kepada BN dalam kempen pilihan raya mereka,” bidas Mahfuz
Beliau juga menegaskan sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih negara AES ini akan dilaksanakan oleh kerajaan sepenuhnya dan bukan syarikat swasta demi menjamin keadilan serta ketelusan perlaksanaannya.
“Jika kita ambil alih Putrajaya, PR akan mansuhkan saman ekor sebelum pindaan undang-undang dan sistem saman ekor yang baru akan diambil-alih oleh kerajaan.
“Hari ini kita lancarkan revolusi jiwa rakyat Malaysia untuk jatuhkan Umno-BN pada pilihan raya umum akan datang. Kita terjemah revolusi jiwa di jalan raya dan juga di peti undi,” ucapnya disambut laungan takbir.