LAGI KELUAR....DAN SAYONARA

PERGIMU TAK DITANGISI, DATANGMU TAK DINANTI…



Oleh: IBN ABDULLAH

MAAF, mohon banyak-banyak kemaafan, bukan Dr. Jeffrey yang menentukan relevan atau tidaknya PR di Sabah selepas beliau mengucapkan sayonara kepada bahtera PKR yang pada saya 'pergimu tak ditangisi, kedatangan mu tak dinanti.'

Nasihat saya kepada mana-mana pemimpin PKR yang mahu meninggalkan PKR, ibaratkanlah ia seperti perceraian ‘talak tiga’ bagi seorang lelaki dengan isterinya. Justeru, jangan pula selepas perceraian berlaku, maka si suami menyebarkan hanya keburukan si isteri dan menutup beberapa kebaikan isterinya selama mereka pernah bergaul sebagai suami isteri. Tabiat sedemikian hanya menggambarkan keburukan akhlak seorang bekas suami yang pernah tidur seranjang bersama isterinya.

Bagi saya, Dr. Jeffrey sudah diberi masa hampir 10 tahun bersama abangnya Datuk Pairin Kitingan, dari 1985 hingga 1995, kalau benar beliau ikhlas dengan agenda Borneonisasinya.

Ketika itu, slogan SABAH FOR SABAHAN yang mereka laungkan memang memukau sebahagian besar rakyat Sabah sehingga parti PBS yang mereka asaskan boleh bertahan beberapa kali dalam pilihanraya umum Negeri Sabah.

Tetapi, mana dia hasil dan nikmat untuk rakyat Sabah dari agenda Borneonisasi dan slogan SABAH FOR SABAHAN yang Dr. Jeffrey canangkan itu? Siapa yang buncit perut meraih dan membantai kekayaan hasil bumi Sabah; balak, tanah pertanian, hasil eksport balak yang diisytihar di bawah volume sebenar, memberi konsesi pembalakan kepada syarikat-syarikat kroni, etc, etc?

Jawapannya ada pada Dr Jeffrey dan pemimpin-pemimpin PBS yang kini tidur sebilik dengan pemimpin penyangak UMNO/LDP/ GERAKAN/UPKO/PBRS.

PKR dan PAS pernah melalui badai dan gelombang lebih dahsyat dari apa yang berlaku sekarang ini. Kemelut yang melanda PKR hari ini tidak sehebat yang berlaku pada tahun 1998, 1999 serta saat beberapa pemimpin muda PKR seperti Roslan Kassim lari meninggalkan PKR.

Saya masih ingat kata-kata yang diluahkan oleh Roslan Kassim sewaktu meninggalkan PKR sekitar awal tahun 2000. Roslan berkata, "Perjuangan PKR sudah menuju titik noktah." Itu yang saya lihat dan dengar sendiri apa yang diucapkan oleh Roslan Kassim dalam berita TV3 'suku'.

Tetapi, Alhamdulillah, terjahan Roslan meleset sama sekali. PKR terus mara bersama rakan dalam PR mengungguli perjuangan berteraskan 'kebajikan dan kepentingan rakyat' negara ini.

Oleh sebab itu, saya mohon kepada Dr Jeffrey dan mana-mana pemimpin PKR yang mahu meninggalkan PKR, jadilah pemimpin yang punya harga diri dan pelihara kewibawaan anda. Jangan jadikan diri anda seperti lembu atau haiwan ternakan yang dibeli dengan harga tertentu.

Anda wajar berasa malu kepada anak-anak dan isteri anda sekiranya anda meletakkan harga pada perjuangan yang anda pelopori yang akhirnya hanya menjadikan anda budak suruhan oleh pemimpin penyangak yang berkepentingan.