Sehubungan itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang mempersoalkan media arus perdana yang sengaja "memadam" menyiarkan dakwaan skandal berkenaan seperti yang didedahkan oleh WikiLeaks.
"Sebab apa Najib mahu mempertahankan Putrajaya (kerana) takut didakwa (di mahkamah) kemudian hari... Mengapa media padam perkara (dakwaan) ini (daripada disiarkan)," katanya ketika menyampaikan ceramah di tapak pasar malam Taman Melati di Wangsa Maju malam semalam.
Dihantui Altantuya
Dalam ceramah itu, Anwar membaca petikan laporan pendedahan dalam WikiLeaks yang mendakwa masa depan Najib dihantui dengan skandal pembunuhan Altantuya.
Berikutan laporan dalam laman web berkenaan, Anwar juga mencabar Najib mengemukakan bukti berhubung dakwaan tersebut.
Dalam ceramahnya juga, Anwar turut menyelar bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew seperti yang didedahkan oleh WikiLeaks bahawa pegawai perisikan Singapura dan Australia percaya beliau memang terlibat dengan perilaku dalam tuduhan liwat yang sedang dihadapinya.
Selain itu, Anwar juga membaca isi kandungan seperti yang didedahkan dalam WikiLeaks yang mendakwa Najib adalah seorang yang "suka mengambil kesempatan". Beliau juga meminta Singapura supaya tidak masuk campur mengenai urusan Malaysia.
"Ini bukan soal kamu... Kita (Pakatan Rakyat yang) lawan Najib.... Jaga negara kamu, jangan sombong dan (jangan) kurang ajar sangat," katanya.