Mohon maaf tanda Najib setuju inisiatif PH untuk mansuh tol?


Kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa hanya “golongan gay dan pemabuk” mendapat manfaat bayaran tol percuma mendapat kecaman pelbagai pihak.

Terdahulu, kerajaan Pakatan Harapan bercadang untuk mengambil alih empat lebuh raya daripada Gamuda Bhd.

Lebuh raya berkenaan adalah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Lalu Lintas Barat KL (Sprint Expressway), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Pintar (Smart).

Menerusi pengambilalihan itu, kerajaan akan menghapuskan bayaran tol dan memperkenalkan caj kesesakan yang kadarnya adalah sehingga 30 peratus lebih rendah daripada kadar tol semasa.

Selain itu, pengguna yang menggunakan mana-mana empat lebuh raya tersebut di antara jam 11 malam dan 5 pagi tidak dikenakan sebarang bayaran.

Najib yang kini dinobatkan raja “troll” bertindak mengkritik cadangan tersebut yang menurutnya hanya akan menguntungkan “hantu, orang mabuk dan LGBT cari pelanggan yang tidak tidur”.
Kenyataan tidak sensitif itu mengundang reaksi pelbagai pihak khususnya pengguna media sosial yang rata-rata menganggap kenyataan itu menghina rakyat Malaysia yang bekerja syif malam.

Ia memaksa Najib memohon maaf atas kenyataan tersebut di laman Facebook miliknya hari ini.

Adakah pemohonan maaf itu bermaksud Najib sebenarnya bersetuju dengan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan berhubung pemansuhan tol?

Najib tidak perlu segan silu untuk menyatakan rasa setuju. Kalau setuju kata ya, “Malu apa bossku” kan? – Roketkini.com

No comments: