Pro UG PAS berusaha keras tentang profesional

OLEH: Amirulmukminin


Pemimpin PAS Khalid Samad memberi amaran hari ini mengenai munculnya 'golongan baru' dalam parti itu yang mahu ia meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) dan mewujudkan jenama Islam yang lebih 'eksklusif' dan fahaman 'chauvanis-Islam'.

Melalui blognya, ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, berdasarkan pengalaman berada dalam PAS lebih 30 tahun, beliau melihat PAS sedang berdepan "masalah dalaman yang agak kronik yang  tidak pernah dihadapi sebelum ini".

Katanya, kumpulan itu dipercayai muncul lewat 1990-an dan awal 2000 dan kemungkinan di kalangan pegawai cawangan khas (SB) yang menyusup dalam PAS sejak 1980-an.

"Kalau golongan baru ini bukan SB sekalipun, mereka merupakan orang yang mahu merungkai kembali segala yang dibina PAS selama ini.

"Dengan itu akan hilang segala yang tercapai sekian lama, termasuk kejayaan PAS menzahirkan corak politik Islam yang berprinsip, bersih, adil dan bebas perkauman," katanya.

Beliau kemudiannya memberitahu The Malaysian Insider, kumpulan ini lebih chauvanis daripada kumpulan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

"Mereka mahu tukarkan parti ini menjadi lebih eksklusif dan mahu menyisihkan golongan profesional dalam PAS," katanya.

Dalam tulisannya, Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam berkata matlamat di sebalik strategi yang sedang dilaksanakan golongan baru itu ialah menukar pendekatan inklusif yang diguna pakai PAS sejak terlaksananya konsep kepimpinan ulama dengan "pendekatan yang lebih syadid dan tertutup".

Katanya, bagi mencapai matlamat itu, beberapa langkah dilaksanakan mengikut strategi mereka yang beliau namakan strategi ‘Langgar Golongan Profesional’.

Beliau menyenaraikan 3 langkah yang diambil golongan itu, pertama menaikkan panji 'kepimpinan ulama' yang tafsirannya terpesong daripada kefahaman asal; kedua menyerang pimpinan lama yang khususnya golongan profesional yang pro-PR; dan ketiga menyerang rakan dalam PR iaitu PKR dan DAP.

Katanya, matlamat asal penubuhan Majlis Syura Ulama ialah memantau perjalanan parti bagi menentukan ia tidak terkeluar landasan syariat, tetapi golongan baru itu membawa fahaman yang lebih mirip pendekatan 'Theocracy Barat'.

"Yang bergelar ulama (sebenarnya ustaz) perlu diberikan jawatan dan kedudukan walaupun mereka sendiri tidak begitu mahir dalam bidang yang ingin ditugaskan kepada mereka.

"Ia menyempitkan ruang keterlibatan semua pihak dan dengan sendirinya cogankata ‘gandingan ulama dan profesional’ sudah lama tidak kedengaran," katanya merujuk fahaman yang dibawa golongan baru itu.

Khalid berkata, pada masa yang sama, kumpulan itu juga mahu merosakkan hubungan rapat antara profesional dan ulama dalam parti dengan memasukkan "jarum syak" di kalangan ulama terhadap profesional.

"Dengan menggunakan emosi dan sentimen, harapan mereka adalah pimpinan sasaran mereka ditolak ahli PAS," katanya.

Golongan ini melabel pimpinan sasaran mereka ini liberal, tidak wala' pada presiden, menentang ulama dan lebih wala’ pada PR/PKR, katanya.

"Pimpinan sasaran mereka terdiri daripada golongan profesional yang kuat menyokong pendekatan tahalluf siyaasi dan kerjasama melalui PR,” katanya.

Khalid mendakwa, dengan menyerang PKR dan DAP, mereka kelihatan lebih lunak dan mesra terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, kumpulan ini berselindung di sebalik slogan seperti ‘cintakan presiden, cintakan ulama’.

Khalid berkata, objektif mereka ialah memastikan PAS tinggalkan PR, tetapi beliau tidak pasti sama ada mereka mahu PAS bersama dengan Umno atau bersendirian.

"Apa yang jelas, mereka ingin PAS tinggalkan PR dan dengan itu, secara sedar atau tidak sedar, Umno/BN akan kembali bernafas lega.

"Igauan Umno selama ini akan berakhir. Ini kerana yang mampu mengalahkan Umno/BN setakat ini hanya PR. Oleh itu sesiapa saja yang berusaha menggagalkan PR sebenarnya membantu Umno/BN," katanya.