KREDIT HARAPAN DAILY
Kerajaan akan menggunakan pengesahan kad pengenalan dalam pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 dan bukannya levi berdasarkan pemilikan kenderaan.
Ini kerana levi pemilikan kenderaan akan menyebabkan 40 peratus keluarga B60 tidak mempunyai pendaftaran pemilikan kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
“PADU sudahpun memadankan pemilikan kenderaan dengan semua pendaftaran kenderaan yang ada di JPJ dan saya boleh memaklumkan kepada dewan secara kasarnya sekitar 40 peratus daripada keluarga B60 itu tiada pendaftaran pemilikan kenderaan, …jadi kita ada masalah.
“Walaupun di peringkat atas, kata lebih baik menggunakan pendaftaran kenderaan untuk kendalikan penyasaran subsidi, hakikatnya bagi keluarga terbawah mereka sebenarnya tiada pendaftaran kenderaan, kerana satu keluarga mungkin menggunakan motosikal atas nama pendaftaran orang lain.
“Maka untuk menggunakan kaedah pendaftaran itu, risiko keciciran adalah lebih besar,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang bertanya berkenaan pelaksanaan pembayaran levi berdasarkan pemilikan kenderaan yang dilihat lebih mudah.
Rafizi turut menjelaskan data awal PADU turut menunjukkan ketidakpadanan yang besar akibat amalan berlainan dalam kalangan keluarga terbawah antaranya tindakan menyambung bayar kenderaan dan penggunaan nama orang lain bagi pendaftaran kenderaan.
“Sekitar 40 peratus daripada isi rumah sasaran kita sebenarnya tiada dalam sistem JPJ, sebab mereka menggunakan nama orang lain,” katanya.
Rafizi turut menegaskan bahawa tiada negara lain yang melaksanakan system subsidi minyak seluas yang dibuat di Malaysia.
“Hampir semua negara di dunia ini beralih kepada harga pasaran, jadi sebab itu kalau kita hendak rujukan, memang kitalah yang jadi rujukan. Bagaimana kita hendak beralih kerana negara lain tiada situasi seperti di Malaysia.
“Hampir semua negara dunia ini juga menggunakan kaedah pindahan tunai, iaitu mengapungkan harga kemudian memberi balik sumbangan itu melalui bantuan tunai bulanan.
“Itu yang ditimbangkan kerajaan (pelaksanaan penyasaran subsidi) namun diputuskan bahawa itu ada risiko besar terhadap kenaikan harga barangan sebab itu kerajaan memilih cara yang ada sekarang,” katanya.