RASANYA TIADA MASAALAH.



 BOLEHKAH DIBAYANGKAN KETIKA ANWAR JADI PM SELEPAS PRU16, TAPI KETIKA ITU RAFIZI ADALAH PRESIDEN PKR?


9 November 2024


PKR dijangka akan mengadakan pemilihan parti pada Mei tahun depan, menepati kehendak Anwar Ibrahim agar ia tidak ditangguhkan.


Setakat ini kedudukan Anwar sebagai Presiden PKR hampir pasti tidak dicabar dan beliau diramalkan akan menang tanpa bertanding.


Bagaimanapun, pemilihan pada tahun 2025 akan datang adalah penggal terakhir bagi Anwar memegang jawatan  Presiden PKR.


Ini kerana perlembagaan PKR hanya membenarkan seseorang memegang jawatan itu selama tiga penggal saja.


Anwar sudah menjadi Presiden PKR sejak 2018 dan dirasakan akan meneruskan prestasi tanpa ditandingi sekali lagi pada 2025 nanti, menjadikannya tiga penggal menerajui parti tanpa dicabar.


Menurut kata Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fahmi, tiada isu untuk Anwar terus kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU16, meskipun ketika itu beliau tidak lagi menerajui parti.


“Tidak berlaku sebarang isu kerana jawatan yang turut disandang Perdana Menteri ialah sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan juga Pengerusi bagi Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan.


“PKR memang menetapkan had tiga penggal bagi jawatan presiden, tetapi pada waktu ini tidak ada isu berbangkit,” kata beliau.


Jika PKR mengadakan pemilihan pada tahun depan sebagaimana ditetapkan, bererti pemilihan seterusnya ialah pada tahun 2028.


Pada pemilihan tahun depan, selain Anwar diramal tidak ditandingi, Rafizi Ramli selaku Timbalan Presiden PKR juga dirasakan masih mampu mempertahankan jawatannya.


Sebagaimana beliau menang bergaya menewaskan Saifuddin Nasution Ismail pada pemilihan 2022 yang lepas, dijangka tiada siapa daripada kalangan pimpinan PKR sedia ada yang cukup berwibawa untuk menewaskannya pada pemilihan tahun depan nanti.


Jika Saifuddin ingin mencuba lagi, Insya Allah kekalahan akan terus menjadi miliknya buat kali kedua.


PRU16 dijangka diadakan pada 2027, kira-kira setahun sebelum pemilihan PKR yang seterusnya iatu pada 2028 di mana ketika itu Anwar tidak boleh lagi memegang jawatan sebagai presiden.


Andaian Fahmi bahawa tiada masalah bagi Anwar untuk kekal sebagai Perdana Menteri tentulah bersandarkan  kepercayaan bahawa  PH/BN masih mampu memenangi PRU16 akan datang dan kerjasama sedia ada dalam kerajaan madani masih mampu dikekalkan.


Andaian begitu memang munasabah kerana ketika PRU16 diadakan iaitu pada tahun 2027, Anwar bukan saja masih lagi memegang jawatan Presiden PKR, tetapi juga Pengerusi PH dan Pengerusi Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan.


Untuk itu, jika ditakdirkan menang, memanglah tiada masalah untuk Anwar terus kekal sebagai Perdana Menteri.


Tetapi, selepas Anwar tidak dibenarkan lagi memegang jawatan Presiden PKR pada pemilihan 2028, Rafizi adalah satu-satunya calon berpotensi untuk mengambil alih teraju kepimpinan parti.


Ini bermakna, jika pada PRU16 tahun 2027 itu Anwar terus kekal sebagai Perdana Menteri, kira-kira setahun selepas itu iaitu setelah pemilihan PKR pada tahun 2028 diadakan, beliau secara automatik  bukan lagi menerajui PKR.


Apabila bukan lagi Presiden PKR, sudah tentu Anwar juga bukan lagi Pengerusi PH.


Kalau Rafizi ketika itu Presiden PKR, sudah tentulah beliau yang akan menjadi Pengerusi PH.


Jika diandaikan jumlah kerusi PH/BN campur GPS dan GRS dalam kerajaan selepas PRU16 tidak banyak berbeza seperti sekarang, bolehkah dibayangkan Rafizi tidak berdetik walau sekecil hama pun tidak mahu jawatan Perdana Menteri dan masih berlapang dada memberi laluan kepada Anwar menerajui negara, sedangkan beliau ketika itu ialah Presiden PKR dan Pengerusi PH? – ShahbudinHusin 09November2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/11/bolehkah-dibayangkan-ketika-anwar-jadi-pm-selepas-pru16-tapi-ketika-itu-rafizi-adalah-presiden-pkr/