Pertuduhan terhadap anak Menteri Besar Perlis dan bekas Setiausaha Politik beliau di dua mahkamah berbeza pagi ini atas jenayah melakukan tuntutan palsu berjumlah RM600 ribu bukan saja sesuatu yang mengejutkan, malah pastinya juga mengecewakan.
Jika Pas selama ini berbangga tiada sebarang kes rasuah, penipuan dan penyonglapan wang kerajaan berlaku di negeri-negeri tadbirannyq, semua itu sudah berkecai sekarang ini.
Tiada apa lagi yang boleh Pas berbangga dengan kuatnya jiwa mereka terhadap godaan dunia.
Lebih daripada itu, apa yang berlaku di Perlis itu telah terdedah belum pun sampai dua tahun Pas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri tersebut.
Kenapakah perkara memalukan ini berlaku kepada Pas, sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan selalu bercakap tentang dosa, pahala, syurga serta neraka?
Apakah menyongkap duit haram lebih menyeronokkan daripada janji syurga?
Apakah panasya api neraka yang sering digambarkan dalam ceramah dan kuliah selama ini tidak menakutkan mereka untuk melakukan dosa?
Sepatutnya, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam serta sering mengajak rakyat menjauhi dosa, ahli dan mereka yang berjuang melalui Pas, kalau pun mahu terlibat dengan jenayah rasuah, penipuan dan penyonglapan wang kerajaan, mereka adalah yang terakhir sekali boleh disabitkan dengan kesalahan sedemikian.
Ini kerana mereka lebih tahu dan faham tentang dosa dan neraka, juga lebih faham gambaran syurga dan juga neraka.
Kalau pemimpin Pas selama ini turut bercakap dan memberi kefahaman kepada ahli-ahlinya bahawa tidak keluar mengundi pun dikira haram, seharusnya tentulah melakukan rasuah, menipu dan menyonglap duit kerajaan lebih jauh lagi hukum haramnya.
Tetapi, semuanya sudah berlaku dan apa yang berlaku di Perlis ini secara langsung memberi gambaran lebih buruk kepada imej Pas di masa depan.
Dalam hal ini, mungkin ada kalangan dalam Pas yang berkata, semua ini baru pertuduhan dan belum pun lagi didapati bersalah.
Namun, harus diingat, pertuduhan di mahkamah dilakukan berdasarkan bukti yang diperolehi dan tidak mungkin ia boleh direka sesuka hati.
Tiada bangkai, tiada bau busuk dan tangan tidak mungkin terkena getah jika tidak mengupas nangka.
Dalam hal, selain Pas perlu membersihkan diri ahli dan pimpinannya, terutama ahli keluarga yang dekat dengan pemimpin yang berkuasa serta mungkin perlu lebih kerap mengadakan usrah, parti itu juga harus melantik mereka yang benar-benar takutkan dosa untuk diberi sebarang jawatan.
Jika tidak segera dibendung, malah ahli Pas juga terlihat sama ghairah merebut nikmat dunia dengan cara yang tidak halal, ertinya mereka tiada beza sama sekali dengan parti-parti sekular.
MB Perlis juga seharusnya tidak berlengah lagi untuk berundur kerana keterlibatan anaknya sendiri dalam jenayah penipuan dana kerajaan di negeri tadbirannya sehingga didakwa di mahkamah, mahu tidak mahu, turut mencemar imejnya. – ShahbudinHusin 23Mei2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/05/23/pas-patut-malu-dengan-pertuduhan-jenayah-anak-mb-perlis.html