PERKAHWINAN PUN DIHALALKAN PERPISAHAN, TAKKAN SOKONGAN POLITIK NAK DIHARAM DARIPADA DITARIK BALIK?

 

Tanpa keraguan, boleh dirumuskan bahawa cadangan agar Perdana Menteri tidak boleh ditukar di pertengahan penggal, melainkan hanya setelah cukup tempoh penggal dan melalui pilihan raya adalah cadangan yang ada niat untuk kepentingan peribadi pencadangnya.

Hakikatnya, mengundang-undangkan jawatan Perdana Menteri atau kerajaan mesti kekal sehingga habis penggal adalah juga bermaksud untuk mengekalkan mereka yang berjawatan Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri bagi tempoh masa yang sama.

Tetapi, yang lebih besar dan penting untuk diaktakan ialah menjadikan penggal Parlimen itu kekal dalam tempohnya dan bukan jawatan Perdana Menteri yang mesti dikekalkan sepanjang penggal.

Ini kerana jika Parlimen boleh dibubar bila-bila masa tanpa ditentukan tempohnya, ia akan memberi kesan kepada rakyat sebagai pengundi.

Sebaliknya, menetapkan melalui kuasa undang-undang agar Perdana Menteri tidak boleh ditukar di pertengahan penggal lebih memungkinkan seseorang yang menjadi Perdana Menteri itu bersikap diktator, angkuh, sombong dan bebas melakukan skandal tanpa bimbang daripada dijatuhkan.

Lantaran itu, sementara tempoh Parlimen wajar diaktakan supaya kekal selama lima tahun, tetapi Perdana Menteri mesti boleh ditukar, ditarik sokongan dan dijatuhkan atau sebab-sebab yang munasabah.

Lagi pula, akan hilanglah seni dan serinya politik jika Perdana Menteri tidak boleh digugat kedudukannya sepanjang tempoh penggal Parlimen yang tertentu.

Dengan kedudukan Perdana Menteri yang boleh digugat dan dijatuhkan pula, seseorang yang menjadi Perdana Menteri akan sentiasa berhemah dan menjaga kerusinya dengan sebaik mungkin sepanjang masa, bukan ketika dekat-dekat nak pilihan raya saja.

Selain itu, hubungan politik dalam membentuk kerajaan atau melantik Perdana Menteri bukanlah hubungan yang terlalu suci sehingga perlu dikuatkuasakan undang-undang untuk melindungi atau mengelakkan ia terlerai di pertengahan jalan.

Hubungan paling suci sesama manusia ialah ikatan perkahwinan di mana melaluinya bercantum silaturrahim dan berkembang zuriat sehingga memungkinkan dunia ini sentiasa menarik untuk dihuni.

Namun, di sebalik sucinya ikatan perkahwinan itu, Tuhan tidak pula mengharamkan perpisahan atau perceraian, malah dihalalkan jika pasangan tiada lagi persefahaman.

Lalu, mengapa pula hubungan atau ikatan politik yang sekadar menentukan jawatan Perdana Menteri mahu diharamkan daripada dileraikan atau ditarik balik di pertengahan jalan? – ShahbudinHusin 15/01/2024.


 

No comments: