Susulan cadangan peribadi Timbalan Perdana Menteri, Ahnad Zahid Hamidi agar digubal suatu undang-undang menghalang pertukaran kerajaan selain daripada melalui pilihan raya, dengan tak semena-mena timbul pula cadangan berkaitan perlaksanaan Akta Parlimen Berpenggal Tetap.
Daripada reaksi dan komen pelbagai pihak, seolah-olah kedua perkara itu mahu disekalikan perlaksanaannya.
Menghalang pertukaran kerajaan atau Perdana Menteri selain melalui pilihanraya atau melakukannya di pertengahan jalan adalah perkara yang berbeza dengan maksud Akta Parlimen Berpenggal Tetap.
Kedua-duanya tidak harus disekalikan atau dicampur-adukkan menjadi satu.
Akta Parlimen Berpenggal Tetap ialah supaya Parlimen tidak boleh dibubarkan di pertengahan penggal dan tarikh pembubaran Parlimen serta hari mengundi hendaklah ditetapkan lebih awal atau sekitar tempoh lima tahun daripada tarikh pilihan raya sebelumnya.
Ertinya, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh lima tahun dan tiada pembubaran Parlimen dibenarkan di pertengahan penggal.
Ini adalah suatu perkara yang baik kerana tidak menyusahkan rakyat untuk berdepan lebih daripada satu pilihan raya dalam tempoh lima tahun, selain mengelakkan kerajaan yang berkuasa mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen secara mengejut sehingga membuatkan ramai yang terkejut.
Dengan adanya Akta Parlimen Berpenggal Tetap di mana tarikh pilihan raya sudah ditetapkan dan diketahui umum tarikhnya, rakyat boleh bersedia dan tidak perlu kalut dalam soal mengundi.
Perkara ini adalah antara topik yang selalu disebut oleh PH dalam kempen-kempen pilihan raya sebelum ini dan mereka berjanji untuk menguatkuasakannya jika beroleh kuasa.
Tetapi Akta Parlimen Berpenggal Tetap ini tidak seharusnya menghalang pertukaran kerajaan atau menukar Perdana Menteri di tengah penggal.
Yang dihalang dan tidak dibenarkan hanya membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya saja.
Jika larangan membubar Parlimen disekalikan dengan sekatan menukar kerajaan atau menukar Perdana Menteri, akta itu akan menjadi tidak demokratik, bersifat autoritarian, memungkinkan Perdana Menteri menjadi diktator serta ganas serta bercanggah dengan perlembagaan negara.
Bayangkan apa jadi jika Perdana Menteri terlibat dengan skandal besar yang memalukan negara, tetapi beliau tidak boleh ditukar di tengah penggal kerana adanya akta yang melarang pertukaran Perdana Menteri itu?
Tidakkah ia buruk kepada negara dan menyebabkan rakyat menderita lagi sengsara?
Selain itu, Perkara 43(4) perlembagaan pula menyatakan, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan Ahli Dewan Rakyat, beliau hendaklah meletak jawatan, melainkan jika permintaannya agar Parlimen dibubarkan mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong.
Ini bermakna, penarikan sokongan, menukar dan menjatuhkan Perdana Menteri di tengah penggal adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang dihalalkan oleh perlembagaan.
Dengan itu, meletakkan sekatan daripada menukar kerajaan atau menukar Perdana Menteri di dalam Akta Parlimen Berpenggal Tetap adalah tidak selari dengan perlembagaan negara.
Maka dalam hal ini, dalam keinginan kerajaan mahu melaksanakan Akta Parlimen Berpenggal Tegap, fokusnya haruslah berkaitan penetapan awal tarikh pilihan raya, pilihan raya mesti lima tahun sekali dan tiada pembubaran Parlimen secara mengejut oleh kerajaan yang sedang berkuasa.
Jangan disekalikan dengan keghairahan untuk menghalang pertukaran kerajaan atau Perdana Menteri sebagaimana diideakan oleh Zahid Hamidi.
Menukar kerajaan dan menukar Perdana Menteri di tengah penggal hendaklah kekal dibenarkan bagi mengelakkan seseorang Perdana Menteri itu bersikap buruk dan sesuka hati berlagak dengan kuasa yang ada padanya.
Lagi pula, PH dan BN harus sedar, mereka bukan selamanya akan menjadi kerajaan, mana fahu ketika jadi pembangkang pada bila-bila masa atau selepas PRU16 nanti, tiba-tiba ketika itu terbuka peluang untuk menjatuhkan kerajaan dan menukar Perdana Menteri?
Bukankah adanya sekatan itu boleh membawa kerugian? – ShahbudinHusin 15/01/2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/01/15/akta-parlimen-berpenggal-tetap-tidak-boleh-disekalikan-dengan-larangan-menukar-pm.html