PENDAKWAAN TERHADAP ISTERI TUN DAIM ADALAH PERINGATAN KEPADA ANAK TUN MAHATHIR


Isteri Tun Daim Zainuddin, Na’imah Khalid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan aset-aset yang dimilikinya.


Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 dan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga RM100,000, jika didapati bersalah.


Beliau didakwa melakukan kesalahan itu dengan memberikan akuan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi notis SPRM di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM.


Mengikut pertuduhan, isteri bekas Menteri Kewangan itu didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 Nov 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat pesuruhjaya pada 14 Nov 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta tertentu yang dimilikinya.


Harta-harta tersebut adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di Bukit Tunku dan satu lot tanah masing-masing di Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail, di Kuala Lumpur.


Pada 10 Januari lalu, Na’Imah turut dipanggil ke ibu pejabat SPRM untuk diambil keterangan bersama dua anak lelakinya dan beliau menghabiskan masa selama sembilan jam bagi proses tersebut.


Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Azura Alwi.


Azura membenarkan Na’imah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes.


Sebelum ini, anak lelaki Tun Mahathir Mohamad, Mirzan Mahathir turut dipanggil ke SPRM untuk disiasat berkaitan pendedahan Kertas Panama dan beliau kemudian diarah mengisytiharkan kekayaan dimilikinya dalam tempoh 30 hari mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.


Notis itu menghendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara.


Berikutan siasatan terhadap Mirzan itu, Tun Mahathir dalam kenyataannya selepas itu mendedahkan anaknya telah diugut untuk dipenjara selama lima tahun.


Tidak disebut anak saya akan dihadapkan ke mahkamah, dakwa bekas Perdana Menteri dua kali itu lagi.


Melihat pertuduhan yang dikenakan terhadap Na’imah, adalah jelas tuduhan yang sama juga bakal menanti Mirzan jika beliau gagal mengisytiharkan kekayaan dimiliki sebagaimana notis diberikan SPRM kepadanya.


Memang pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 itu boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga RM100,000 jika didapati bersalah, tetapi ia mesti melalui proses perbicaraan di mahkamah terlebih dahulu.


Tiada sesiapa boleh memasukkan orang lain ke dalam penjara begitu saja tanpa apa-apa perbicaraan.


Dalam hal ini, tuduhan Tun Mahathir barangkali tidak berapa tepat.


Yang penting, pendakwaan terhadap Na’imah, isteri Tun Daim hari ini adalah suatu peringatan atau “warning” kepada Mirzan, anak lelaki sulung Tun Mahathir agar tidak memandang mudah arahan mengisytiharkan semua harta alih dan tidak alih, di dalam negara atau luar negara yang dimilikinya sebagaimana dikehendaki SPRM.


Jangan tertinggal daripada mengisytiharkan walau sekecil apa sekali pun aset yang dimilikinya.


Lagi pun, masa yang diberi SPRM adalah 30 hari dan tempohnya masih panjang lagi. – ShahbudinHusin 23/01/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/01/23/pendakwaan-terhadap-isteri-tun-daim-suatu-peringatan-kepada-anak-tun-mahathir.html



No comments: