MEMAHAMI BAGAIMANA PROSES MENJATUHKAN KERAJAAN, APA JUA LANGKAH NAK TUMBANGKAN ANWAR SEKADAR SEMBANG KARI SAJA


Sejak lebih seminggu lalu, hangat diperkatakan tentang kerajaan perpaduan akan dijatuhkan dan diberi gambaran kononnya jumlah Ahli Parlimen yang menyokong perubahan itu sudah pun mencukupi.


Mula-mula dikatakan sudah ada 112 Ahli Parlimen yang memberi sokongan, kemudian bertambah kepada 120 dan terbaru dikatakan meningkat lagi kepada 129.


Tidak mustahil mainan angka itu terus bertambah dan bertambah sekarang ini.


Daripada 69 Ahli Parlimen yang ada bersama blok pembangkang sekarang, tidaklah pula diketahui siapa daripada blok kerajaan yang ingin menambahkan angka itu kepada sekurang-kurangnya 112 atau lebih daripada itu.


Begitu pun, semua gambaran angka-angka itu hanya bermain di media sosial dan percakapan dari mulut ke mulut semata-mata.


Tiada mana-mana pemimpin blok pembangkang yang berani mengesahkannya dan Pengerusi PN, Mahiaddin Md Yasin yang sedang bercuti di luar negara sehingga 25 Januari depan barangkali senyum-senyum saja membaca mainan angka itu.


Pokoknya, jika sudah cukup angka dimiliki, kenapa tidak diumumkan secara rasmi kerajaan benar-benar boleh dijatuhkan?


Nak tunggu apa lagi?


Dalam kemelut ini yang dijangka berterusan lagi entah berapa lama lagi kerana manusia secara umumnya suka kepada khabar angin dan adanya pergolakan, mari kita memahami bagaimana sesebuah kerajaan itu boleh dijatuhkan.


Mengikut perlembagaan, perlantikan Perdana Menteri adalah atas budi bicara Yang Dipertuan Agong atas kepercayaan baginda bahawa seseorang itu memiliki sokongan majoriti daripada 222 Ahli Parlimen iaitu lebih daripada 112.


Mahiaddin pernah tidak diyakini oleh Istana Negara untuk dilantik bagi kali kedua sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 lalu, walaupun telah menyenaraikan jumlah sokongan yang mencukupi melalui SD atau akuan bersumpah.


Agong kemudiannya lebih meyakini Anwar Ibrahim mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri berdasarkan perakuan ketua-ketua parti terhadap Pengerusi PH itu.


Bermakna di sini, kuasa budi bicara Agong itu adalah muktamad dan membawa atau menghantar sejumlah SD kepada Istana Negara tidak lagi membawa sebarang makna.


Namun demikian, meski Agong mempunyai kuasa budi bicara melantik seorang Perdana Menteri, tetapi baginda tidak diberikan kuasa untuk memecat Perdana Menteri.


Perdana Menteri hanya boleh diganti setelah Perdana Menteri itu sendiri secara sukarela meletakkan jawatannya dan perkara ini boleh dirujuk ketika Tun Mahathir Mohamad meletakkan jawatan pada 2020 dan Mahiddin juga berbuat demikian pada 2021.


Dalam hal ini, jika benar blok pembangkang sudah mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan, selain ia perlu diumumkan secara rasmi untuk pengetahuan terbuka, ia juga perlu dilakukan melalui usul undi tidak percaya di Parlimen.


Tanpa usul undi tidak percaya, Perdana Menteri tidak boleh dijatuhkan kerana Perdana Menteri tidak boleh dipecat atau dipaksa untuk meletak jawatan walaupun dua tiga orang TikTokers menjerit setiap minit mengenainya atau berapa banyak sekali pun SD dihantar ke Istana Negara.


Silap Tun Mahathir dan Mahiaddin dulu ialah mereka cepat sangat meletakkan jawatan tanpa melakukan usaha lain untuk mengekalkan nikmat yang sedang disandang.


Dengan demikian, cakap-cakap kononnya blok pembangkang sudah ada SD mencukupi itu hanya layak dicampak ke dalam sungai saja buat ketika ini dan tiada asas sama sekali untuk mempercayainya, melainkan ia dapat dibuktikan dengan segera melalui keberanian mengemukakan usul undi tidak percaya.


Sekarang baru bulan Januari dan Parlimen dijadualkan bersidang pada 26 Februari depan dan jika usul undi tidak percaya mahu dikemukakan, inilah tarikh yang paling hampir sekali untuk menjatuhkan kerajaan.


Dua isu di sini, pertama – beranikah blok pembangkang melakukannya?


Yang kedua, sesuatu usul yang hendak dibawa itu perlu memenuhi tiga syarat utama – perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan – dan dalam hal ini menjadi kuasa Speaker Parlimen membuat keputusan membenar atau menolaknya.


Dengan tiga syarat tersebut, terutama syarat perlu disegerakan – senang cerita – Speaker lebih diberi kuasa untuk menolak daripada membenarkan usul undi tidak percaya itu.


Jadi, bagaimana nak jatuhkan Anwar dan menukar kerajaan?


Anwar dengan slogan Lawan Tetap Lawan yang sudah sebati dalam dirinya diyakini tidak akan mudah mengalah, bahkan tidak perlu melayan apa jua desakan, tambahan lagi kerusi Perdana Menteri itu sendiri sudah diidamkannya selama lebih 25 tahun lamanya serta banyak ranjau terpaksa dilaluinya.


Malah, Anwar sebagai Perdana Menteri masih ada pilihan lain boleh dilakukan sebelum beliau mungkin dijatuhkan iaitu dengan segera membubarkan Parlimen dan perkara ini pernah berlaku dalam kemelut politik Sabah sebelum ini.


Apa pun, untuk lebih mendamaikan jiwa, lebih baik dianggap semua gegak-gempit atau ada pelbagai langkah kononnya kerajaan akan jatuh itu sebagai sembang kari semata-mata.


Ia terlalu jauh daripada mungkin menjadi kenyataan dan detik paling munasabah untuk melakukan perubahan kerajaan ialah PRU16 pada tahun 2027 akan datang.


Daripada asyik melayan telinga mendengar sembang kari tak ada titik sedemikian rupa, jauh lebih nikmat jika kita, di waktu hujan begini, pergi melayan makan kari bersama kawan-kawan yang sehati sejiwa. – ShahbudinHusin 07/01/2023.


https://shahbudindotcom.net/2024/01/07/memahami-proses-untuk-menjatuhkan-kerajaan-apa-jua-langkah-hanyalah-sembang-kari-saja.html



No comments: