DNAA U-TURN








Dua hari lepas YB Marang menyatakan DNAA tidak wujud dalam Islam. Selepas itu, Menteri Agama, Dato' Dr Mohd Naim Mokhtar telah membuat penjelasan panjang lebar bahawa DNAA itu wujud dalam hampir kesemua Enakmen Tatacara Jenayah Syariah di negeri-negeri sekaligus menafikan kata-kata YB Marang bahawa DNAA itu tidak wujud dalam Islam.


Hari ini YB Marang bukan sahaja masih tidak menarik balik kata-katanya tetapi menukar ayat kepada DNAA terpilih dan juga ayat Pelepasan dan Pembebasan dalam Islam. 


Dalam sistem perundangan Malaysia tiada istilah DNAA terpilih. Semua tertuduh dilayan sama rata. Istilah DNAA terpilih itu adalah tidak berperlembagaan kerana Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan memberikan hak sama rata kepada semua manusia. 


Selain itu, YB Marang nampaknya mula kendur dan tidak lagi berpegang kepada pandangan awalnya dua hari lepas bahawa DNAA ini tidak wujud dalam Islam. Hakikatnya DNAA itu adalah sebahagian daripada undang-undang prosedur jenayah yang terpakai dalam Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Sepatutnya YB Marang jujur menarik balik kata-katanya dan tidak memulas dengan ayat lain.


Undang-undang berkaitan DNAA itu terpakai ke atas kesemua tertuduh. Tiada tertuduh yang tidak boleh mendapatkan DNAA jika cukup syarat-syaratnya. 


Menurut YB Marang, "Sila bandingkan kaedah DNAA (discharge not amounting to acquittal)  yang tidak terpakai terhadap pencuri tabung masjid yang dihukum penjara kerana mencuri tabung masjid sebanyak RM22. Kenapa tidak dipastikan adakah dia mencuri kerana kelaparan atau ada apa-apa sebab yang lain?"


https://www.facebook.com/abdulhadiawang/posts/867924368024972?__cft__[0]=AZXisFIe_StJ6noW7-X4TPEntWOaAL_s6ejkntTG_OqYzDZCAu9BSnS9xgILs-oMjqTQR3jOfSYRyKWbkUlSpfq4tZKkxufTYLZWBeOIkRhccQ3GMmjLSL8rblfYphueqkESRf9u4EHIZSOYd1LEoC8kMYc4ZTIh1luLCNY3741pM4N6AVXDBxLlb1RCQZHaWTQ&__tn__=%2CO%2CP-R


Pernyataan DNAA tidak terpakai kepada pencuri tabung masjid itu tidak tepat kerana sudah ada pengakuan salah. Menurut laporan Berita Harian tertuduh telah mengaku salah pada 7 September 2023 dan akan dijatuhi hukuman pada 26 September 2023. Selain itu, tertuduh juga telah didakwa atas kesalahan penyalahgunaan dadah. Tertuduh tidak diwakili oleh peguam. 


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2023/09/1149664/tukang-rumah-didakwa-curi-duit-tabung-masjid


Oleh kerana kes ini berlaku di Terengganu dan tertuduh ini tidak diwakili peguam maka ada baiknya jika YB Marang mengupah seorang peguam untuk mewakili tertuduh dan tatkala itu peguam akan membuat representasi kepada Peguam Negara supaya tertuduh ini juga akan mendapat DNAA. Masih belum terlambat untuk berbuat demikian kerana tertuduh belum lagi dijatuhi hukuman dan pengakuan salah itu masih lagi boleh ditarik balik.


Oleh itu, sama-sama kita lihat sama ada YB Marang akan mencari peguam bagi mewakili tertuduh kes kecurian tabung masjid ini. Setakat ini, yang membuat tawaran untuk mencari peguam bagi tertuduh dalam kes ini adalah seorang ahli perniagaan bukan Islam iaitu Datuk Seri Sunny Ung.


https://www.kosmo.com.my/2023/09/11/pencuri-rm22-tabung-masjid-ahli-perniagaan-bantu-sediakan-peguam/




Dr Zulqarnain Lukman

15/9/2023



No comments: