DNAA DALAM ISLAM








YB Marang dalam ucapan parlimen pada hari ini (13/9/2023) menyatakan bahawa DNAA tiada dalam Islam. Bagi menyokong pandangan itu YB Marang telah mengemukakan satu kisah yang berlaku pada zaman khilafah Uthamaniah.


Kita cuba tanya Bard AI. Bard AI kata konsep DNAA dalam Islam diasaskan atas prinsip maslahah. 


DNAA ini adalah berkaitan undang-undang prosedur bukannya undang-undang substantif. YB Marang mungkin merujuk kepada undang-undang substantif yang tidak menyebut berkaitan DNAA. Seingatnya, sewaktu belajar subjek Islamic Criminal Law di UIA menggunakan buku Sheikh Abdul Kadir Audah memang tidak disebutkan DNAA. 


Namun, jika kita belajar Islamic Criminal Procedure tumpuan akan diberikan kepada prosedur undang-undang jenayah Islam yang telah digubalkan dalam perundangan Malaysia. 


Jika kita rujuk kepada S. 103 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001 ada disebut peruntukan berkaitan DNAA ini. Seksyen ini hampir sama seperti S.254 Kanun Keseksaan yang digunakan oleh pendakwa sivil. S. 103 ini berbunyi seperti berikut:


Seksyen 103. Pendakwa bolehlah berhenti daripada mendakwa selanjutnya pada mana-mana peringkat.


(1) Pada mana-mana peringkat apa-apa perbicaraan, sebelum penghakiman diberikan, Pendakwa boleh, jika difikirkannya patut, memberitahu Mahkamah bahawa dia tidak bercadang untuk mendakwa tertuduh selanjutnya atas pertuduhan itu; dan sesudah itu semua prosiding atas pertuduhan itu terhadap tertuduh bolehlah digantung dengan kebenaran Mahkamah dan, jika digantung sedemikian, tertuduh hendaklah dilepaskan daripada pertuduhan itu.


(2) Pelepasan sedemikian tidaklah terjumlah kepada suatu pembebasan melainkan jika Mahkamah mengarahkan sedemikian.


Oleh itu, jika YB Marang berhujah mengatakan DNAA itu tidak wujud dalam Islam, bahkan haram kerana bercanggah dengan Islam ini bermakna S. 103 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001 ini juga haram dan bercanggah dengan Islam juga.


Sayugia juga disebutkan bahawa Enakmen ini digubal tahun 2001 semasa YB Marang menjadi Menteri Besar Terengganu. Bagaimanakah YB Marang boleh membenarkan satu peruntukan yang bercanggah dengan Islam digubal dan diluluskan di hadapan batang hidung beliau sendiri? Tidaklah YB Marang bersama dengan Adun-Adun lain juga berdosa melakukan perkara haram dalam DUN semasa meluluskan S. 103 ini?


Akhir sekali, bagi saya DNAA ini adalah berkaitan dengan prosedur. Perkara berkaitan prosedur ini kebanyakannya diasaskan oleh ijtihad semasa. Apa yang dikatakan oleh Bard AI itu adalah benar bahawa DNAA melibatkan prinsip maslahah. Perkara yang maslahah bukanlah perkara yang qati'e dilalah (pendalilan yang muktamad) yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Proses penggubalan sesuatu enakmen di Mahkamah Syariah lazimnya sudah melalui proses Jawatankuasa Teknikal. Dalam konteks Terengganu pastinya Mufti dan Ketua Hakim Syarie sendiri akan terlibat. 


Dalam hal ini, YB Marang perlu menarik balik kenyataan bahawa DNAA tiada dalam Islam.


Dr Zulqarnain Lukman

13 September 2023

27 Safar 1445H


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10232895620679714&id=1440900983&mibextid=Nif5oz



No comments: