Dalam usaha untuk melepaskan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim daripada dikaitkan dengan pendakwaan mahkamah terhadap Mahiaddin Md Yasin, terdapat kecenderungan yang ketara di kalangan sesetengah pihak kebelakangan ini untuk menjadikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara sebagai tampanan perlindungan.
Dijadikan hujah bahawa Mahiaddin tidak boleh menyalahkan Anwar dalam pendakwaan yang dihadapinya kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dan Peguam Negara, Idrus Harun adalah lantikannya ketika memegang jawatan Perdana Menteri sebelum ini.
Kononnya, tidak munasabah sama sekali Anwar dipersalahkan atau didakwa campurtangan, sedangkan Azam Baki dan Idrus itu adalah individu yang dilantik oleh Mahiaddin.
Terbaru, turut sama berhujah dengan asas yang sama ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Karim.
Benarkah Anwar tidak boleh dikaitkan hanya kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara masih merupakan orang yang dilantik Mahiaddin?
Harus kita fahami, SPRM dan Jabatan Peguam Negara adalah terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri dan mereka – mudah kata – secara langsung adalah berada di bawah Perdana Menteri.
Kewajipan mereka untuk akur dan setia ialah kepada Perdana Menteri semasa, bukan kepada bekas Perdana Menteri yang melantik mereka.
Apabila datang Perdana Menteri baru, kesetiaan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara kepada Perdana Menteri sebelumnya, walau ada segunung intan sebagai budi kenangan kerana melantik mereka ke jawatan tersebut, ia dikira terputus dengan sendirinya.
Sebab itu, biasanya apabila Perdana Menteri bertukar, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara juga turut sama bertukar, sama ada mereka meletak jawatan atau ditamatkan perkhidmatan.
Dalam hal berkaitan, walaupun pernah memberikan jawatan, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara tidak lagi berkewajipan menurut kehendak bekas Perdana Menteri yang pernah melantik mereka.
Cuba kalau Perdana Menteri semasa memberi arahan, beranikah mereka menyanggah?
Dengan demikian, hujah bahawa Anwar tidak boleh dikaitkan dengan pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri itu hanya kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara sekarang merupakan Mahiaddin, lebih bersifat pramatang, tidak relevan dan semacam “aksi pancut awal” semata-mata.
Ini kerana kesetiaan dan keakuran Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara, selagi mereka ingin memegang jawatan tersebut, adalah kepada Perdana Menteri semasa.
Pendakwaan terhadap Mahiaddin adalah jelas – menjadi kenyataan – hanya setelah bertukar Perdana Menteri kepada Anwar.
Namun, ini tidaklah bermakna Anwar telah campurtangan, mengamalkan pendakwaan terpilih, ingin menganiaya musuh politik atau bersikap berat sebelah.
Yang tepatnya atau yang utama, pendakwaan itu dilakukan kerana Mahiaddin memang ada melakukan kesalahan, baik berkaitan empat pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah atau pun penggubahan wang haram yang kini sedang dihadapinya.
Tanpa wujud kesalahan sebagai bukti, pertuduhan tidak boleh direka-reka kerana di depan hakim bicara, yang wajib dibentangkan adalah fakta.
Yang keduanya, pendakwaan itu menjadi kenyataan kerana Anwar adalah seorang Perdana Menteri yang mempunyai iltizam tinggi untuk menghapuskan amalan rasuah di negara ini, malah perkara itu telah menjadi intipati perjuangannya sejak dulu lagi.
Bahkan dalam ucapan di Parlimen, beberapa kali Anwar memberi bayangan tentang salah laku dalam pentadbiran terdahulu.
Apakah mungkin pendakwaan terhadap Mahiaddin menjadi kenyataan jika bukan Anwar yang menjadi Perdana Menteri?
Kalau tanpa digerakkan oleh Anwar bersama iltizamnya yang tinggi memerangi rasuah itu, kenapa SPRM dan Peguam Negara tidak mendakwa Mahiaddin sejak dulu lagi?
Mengapa hanya setelah Anwar menjadi Perdana Menteri ia menjadi realiti?
Dalam hal ini, diharap penyokong Anwar jangan malu-malu mengaku, malah berbangga bahawa pendakwaan itu memang disebabkan oleh Anwar.
Jangan berdalih dengan hujah yang tidak kena seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara bukan merupakan lantikannya.
Cuma, peranan Anwar dalam hal ini adalah daripada sudut yang amat positif untuk membawa kebaikan kepada rakyat dan juga negara, bukan disebabkan dendam politik atau faktor-faktor lain. – ShahbudinHusin 12/03/2023.