Ikut logik dan hukum akal, dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandangnya sekarang, tiada sebab dan hampir mustahil Ahmad Zahid Hamidi tidak mampu mengekalkan jawatan Presiden UMNO yang sedang disandangnya.
Jawatan tersebut adalah nilai tambah yang mampu menjadikan orang tak cerdik kelihatan cerdik dan orang tak kacak tiba-tiba terlihat kacak.
Maka, dengan jawatan tersebut seharusnya juga menjadikan Zahid Hamidi serta penyokong-penyokongnya lebih berani serta tidak takut untuk dicabar.
Kalau dulu dalam pemilihan 2018 beliau mampu menang sebagai Presiden UMNO dengan tiada sebarang jawatan dan lawannya juga tiada apa-apa jawatan, bersama jawatan nombor dua dalam kerajaan sekarang sepatutnya memberi lebih lagi keberanian untuk berlawan.
Apatah lagi jika yang bakal menentang beliau ialah Hishammuddin Hussein yang tiada apa-apa jawatan dalam kerajaan.
Takkan Timbalan Perdana Menteri tidak berani berlawan dengan orang yang tiada jawatan?
Lekeh sangatlah kalau dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri tetapi tidak mampu mempertahankan jawatan dalam parti!!
Lagi pula, jika difahami, tindakan memberi Zahid Hamidi jawatan Timbalan Perdana Menteri itu adalah bertujuan untuk mengukuhkan kedudukannya bagi mempertahankan jawatan Presiden UMNO.
Maka, pandai-pandailah bawa diri untuk menang dalam perlawanan.
Janganlah setelah diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri masih juga takut dengan perlawanan dan pengampu-pengampu pula tampil dengan desakan agar ditiadakan pertandingan.
Itu sudah memalukan diri sendiri namanya dan pengampu-pengampu Zahid Hamidi mesti turut berani membenarkan pertandingan.
Lagi pun, cukuplah dengan pelbagai tindakan menangguhkan pemilihan sebelum ini sehingga akhirnya perlembagaan UMNO turut dipinda bagi mengelakkan pertandingan sebelum PRU dilangsungkan.
Sekarang PRU sudah berakhir, tiada alasan lagi untuk tidak membenarkan pertandingan.
Biar ahli dan perwakilan UMNO menyuburkan amalan demokrasi dalam parti dan mereka hendaklah diberi kebebasan memilih pemimpin mereka sendiri.
Semua parti lain membenarkan serta tidak menghalang pertandingan, malah tidak gentar mengadakan pemilihan dalam waktu menjelang atau sebelum PRU diadakan.
PKR dan DAP misalnya, pemilihan parti mereka diadakan hanya beberapa bulan sebelum PRU15 lalu diadakan.
Kenapa mereka tidak takut, bahkan dapat pun berada dalam kerajaan?
Sebelum PRU15 lalu juga, bolehlah difahami pemilihan tidak diadakan kerana Zahid Hamidi mungkin akan dicabar oleh pemimpin yang ada jawatan dalam kerajaan, tetapi sekarang pencabarnya yang tiada jawatan dalam kerajaan dan beliau sebaliknya yang berjawatan.
Takkan nak takut lagi?
Kadang-kadang pelik UMNO ini, sebelum PRU takut jawatan Presiden ditandingi, selepas jadi kerajaan dan ada jawatan pun masih juga ada ketakutan lagi.
Kalau semua keadaan takut, bila masa nak jadi berani?
Paling penting, kalau dulu tanpa jawatan pun Zahid Hamidi mampu menang Presiden UMNO, patutnya kali ini bersama jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau langsung tiada masalah untuk menggapai kemenangan yang lebih cemerlang lagi.
Dengan itu, kedudukan beliau akan lebih kukuh lagi dalam mentadbir parti.
Tetapi, kalau tiada pertandingan, sekam di bawah mungkin lebih membakar secara perlahan-lahan dan walaupun Zahid Hamidi kekal sebagai Presiden UMNO, kewibawaannya tetap menjadi pertikaian yang berpanjangan. – ShahbudinHusin 05/01/2023.