TUN MAHATHIR DAN PERSARAAN PENUH KEPEDIHAN

 

Minggu lalu Tun Mahathir Mohamad mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi 

Pejuang dan seterusnya bersara sepenuhnya daripada dunia politik.

Berbeza dengan pengumuman bersara kali pertama dulu yang penuh emosi, teriakan dan tangisan, persaraan kali ini hanya dilakukan dalam diam saja.

Tiada sidang media, tiada tangisan dan tiada air mata, malah pemakluman bersara itu hanya dihebahkan oleh bekas calon Pejuang iaitu Lan Lando, seorang aktivis seni yang barangkali tidak pernah pun berlakon sebagai hero dalam drama atau filem.

Persaraan Tun Mahathir itu kemudian disahkan oleh Mukhriz Mahathir selaku Presiden Pejuang melalui kenyataan media yang menyanjung jasa serta sumbangan bekas Perdana Menteri itu selama ini.

Bersara sepenuhnya Tun Mahathir ini tidak dinafikan adalah penuh dengan kesedihan dan kepedihan.

Walaupun cemerlang sebagai Perdana Menteri, Tun Mahathir sebaliknya bersara dengan kegagalan yang menyakitkan.

Kegagalan terbesar, walaupun beberapa kali cuba menghalang kemaraan politik Anwar Ibrahim, termasuk memecatnya pada 1998 dan sengaja memungkiri janji peralihan kuasa selepas kemenangan PH pada 2018, Tun Mahathir akhirnya bersara di ketika bekas sahabat dan musuh politiknya itu gagah berdiri sebagai Perdana Menteri yang disanjung dunia.

Lebih malang lagi, di ketika PH yang dipimpin oleh Anwar berjaya memenangi paling banyak kerusi pada PRU15 lalu, Pejuang pula kalah semua kerusi yang ditandinginya.

Sudah tentu yang terburuk sekali, semua calon Pejuang, termasuk Tun Mahathir sendiri hilang wang pertaruhan mereka.

Dipedihkan dengan semua kekalahan, walaupun melalui jalan berliku, kerusi Perdana Menteri tetap jatuh kepada Anwar jua akhirnya.

Makna kata, bersama kejayaan Anwar menjadi Perdana Menteri itu seumpama ada sesuatu hukuman turut ditimpakan kepada Tun Mahathir.

Agaknya, kalau Pejuang sekadar kalah dan hilang deposit pilihanraya tetapi bukan Anwar yang jadi Perdana Menteri, kesediaan dan kepedihan Tun Mahathir tidaklah begitu menusuk-nusuk jantung kalbunya.

Kini dengan bersara sepenuhnya dan tidak mungkin mampu kembali aktif lagi sebagaimana selepas bersara pada 2003 dahulu, hari-hari mendatang Tun Mahathir pastinya akan terus sepi dan sunyi.

Menonton berita tv pun barangkali cuba dielakkannya kerana jika terpandang wajah Anwar ketika ini, bertambah lagilah luluh hatinya.

Dengan persaraan Tun Mahathir, Pejuang kini dipimpin oleh anaknya Mukhriz yang tentunya memerlukan keluarbiasaan dirinya untuk menghidupkan kembali parti itu.

Diperbualkan sejak minggu lalu lagi dan sekarang disahkan oleh Khairuddin Abu Hassan, Mukhriz dikatakan telah melontarkan cadangan agar Pejuang bernaung di bawah PH sebagai pilihan untuk memastikan parti itu terus bernyawa.

Bernaung di bawah PH itu adalah sama seperti apa yang parti Muda yang dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Diberitakan, Mukhriz sedar jika Pejuang bergerak sendirian, nasibnya tidak akan ke mana-mana dan bakal hilang deposit sekali jika bertanding dalam pilihanraya akan datang.

Dengan itu, pilihannya sama ada menyertai PH atau PN dan dalam hal ini, Mukhriz dikatakan lebih condong memilih PH kerana melihat masa depan gabungan itu lebih cerah dalam konteks politik Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini.

Difahamkan lagi, Mukhriz juga dikatakan sebolehnya mahu penyertaan Pejuang ke dalam PH dilakukan sebelum PRN beberapa negeri tahun depan dengan harapan mereka diberikan kerusi untuk bertanding sama.

Berikutan tidak setuju dengan cadangan Mukhriz itu, selain Khairuddin telah meletak jawatan jawatan dan berundur daripada Pejuang, difahamkan beberapa pemimpinnya yang lain akan juga berbuat demikian sedikit masa lagi.

Apakah akhirnya nasib Pejuang dalam politik Malaysia dan bolehkah ia diterima oleh PH?

Sama ada Pejuang diterima untuk bekerjasama dengan PH atau tidak, kedua-dua keadaan itu adalah satu lagi kesedihan dan kepedihan buat Tun Mahathir dalam menanti hari-hari kehidupannya di dunia ini berakhir.

Jika Pejuang diterima untuk bersama PH, ia bermakna parti yang diasas dan ditubuhkan oleh Tun Mahathir sendiri akhirnya terpaksa tunduk dan akur untuk berasa bawah kawalan serta kekuasan Anwar.

Kalau tidak diterima pula, ini bererti Pejuang akan berdepan laluan yang gelap dan mungkin akan terkubur begitu saja.

Apabila Pejuang terkubur dan karier politik Mukhriz berakhir, inilah yang sebenarnya paling dan paling menyedihkan Tun Mahathir. – ShahbudinHusin 21/12/2022.



No comments: