SELEPAS DILANTIK KETUA PEMBANGKANG, HAMZAH AKAN LEBIH BERWIBAWA JIKA TURUT PEGANG PENGERUSI PN

 

Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin kini sah dilantik sebagai Ketua Pembangkang yang baru di Dewan Rakyat.

Melihat penampilan pertamanya berucap membahaskan usul percaya terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim petang semalam, beliau sekurang-kurangnya ternampak lebih baik jika dibandingkan dengan Mahiaddin Md Yasin atau Hadi Awang untuk memegang jawatan tersebut.

Walau penampilan pertamanya semalam dicacatkan dengan serangan peribadi yang terselit niat jahat terhadap Perdana Menteri, selain laman web yang dipetiknya bukanlah sumber berintergriti, Hamzah diharap menjadikannya sebagai pengajaran untuk menonjol lebih baik lagi di masa hadapan.

Memegang jawatan Ketua Pembangkang atau mengetuai blok pembangkang di Parlimen, tambahan lagi jawatan tersebut kini bertaraf menteri, beliau bagaimanapun tidak mengetuai blok pembangkang di luar Parlimen atau daripada segi kedudukan parti yang menaunginya iaitu PN.

PN sebagai blok pembangkang di luar Parlimen sebaliknya diketuai oleh Mahiaddin Md Yasin selaku Pengerusi gabungan tersebut merangkap Presiden Bersatu.

Meskipun bukan sesuatu yang wajib seorang Ketua Pembangkang mesti merupakan ketua parti dalam blok pembangkang, tetapi adalah lebih baik jika pemimpin yang sama memegang kedua-dua jawatan itu.

Ia tentunya akan menjadikan peranan Ketua Pembangkang itu lebih berkesan kerana peranan mengetuai pembangkang dapat dijalankan serentak di dalam dan di luar Parlimen.

Jika kedua-dua jawatan itu dipegang oleh pemimpin yang berbeza, maka tidak semua suara ketua parti pembangkang dapat diangkat ke Parlimen, terutama jika ketua parti pembangkang itu sendiri bukan jenis yang rajin datang ke Parlimen.

Lebih daripada itu, ia seolah-olah menjadikan ada dua watak ketua pembangkang dalam negara.

Untuk itu, sesuai dengan Hamzah kini menjadi Ketua Pembangkang, adalah wajar sebenarnya untuk beliau diberi peranan mengetuai gabungan PN mengambil alih tempat Mahiaddin.

Lagi pun, era Mahiaddin boleh dikira sudah berlalu dan kerajaan gagal yang dipimpinnya selama 17 bulan sebelum ini banyak menyukarkan peluangnya untuk kembali semula sebagai Perdana Menteri.

Ditambah dengan undi percaya yang dimenangi dengan cemerlang oleh Anwar petang semalam, sekurang-kurangnya untuk lima tahun akan datang, kerajaan perpaduan ini tidak lagi mudah untuk digugat dan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang perlu berperanan dengan lebih berkesan lagi.

Maka, Mahiaddin harus berjiwa besar dan sedia melepaskan jawatan Pengerusi PN itu kepada Hamzah.

Tiada lagi peluang untuk menukar kerajaan di tengah jalan dan cubaan seterusnya untuk PN menjadi kerajaan hanyalah dalam PRU16 pada tahun 2027 akan datang.

Pada ketika itu, Mahiaddin barangkali sudah tidak sesuai lagi untuk terus bercita-cita mengejar jawatan Perdana Menteri, sebaliknya harus berfikir untuk menghabiskan sisa usianya yang tersisa bersama keluarga dan anak cucunya saja.

Namun, terus bersaing pada PRU16 adalah masih relevan bagi Hamzah kerana ketika ini usianya baru mencecah 65 tahun dan lima tahun akan datang masih dalam lingkungan 70 tahun.

Selain itu, trend kebelakangan ini memperlihatkan kerusi Ketua Pembangkang adalah batu loncatan yang terbaik untuk seseorang itu menjadi Perdana Menteri.

Ismail Sabri Yaakob adalah pemimpin pertama yang pernah memegang jawatan Ketua Pembangkang, kemudian menjadi Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya Perdana Menteri.

Anwar pula merupakan pemimpin pertama daripada jawatan Ketua Pembangkang yang berjaya mencipta sejarah melompat terus ke kerusi Perdana Menteri.

Maknanya, kerusi Ketua Pembangkang di era moden ini adalah persinggahan mustajab dalam pengejaran cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.

Mana tahu, dengan memegang jawatan Ketua Pembangkang, sama seperti Ismail Sabri dan Anwar sebelum ini, kerusi Perdana Menteri dapat menjadi rezeki Hamzah selepas PRU16 nanti.

Laluan itu, bagaimanapun tentulah lebih terbuka jika jawatan Pengerusi PN juga dalam genggamannya.

Satu soalan kepada Hamzah – ada cita-cita atau tidak untuk jadi Perdana Menteri? – ShahbudinHusin 20/12/2022.