MENTERI JAGA PROJEK TEBATAN BANJIR WAJIB SEGERA TAMPIL BERI PENJELASAN


 Sebagaimana ditegaskan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim beberapa kali, perkara paling penting yang menjadi keutamaannya sebaik mengambil alih kuasa ialah memastikan tidak berlaku ketirisan wang kerajaan.

Untuk itu, menyemak semula perlaksanaan projek tebatan banjir yang sebahagiannya sudah diluluskan adalah langkah awalnya ke arah itu.

Projek tersebut yang sebelum ini diberikan secara rundingan terus oleh kerajaan terdahulu diputuskan untuk disemak semula bagi ia dilaksanakan secara tender terpilih.

Ketika melawat mangsa banjir di Kelantan baru-baru ini, Anwar turut menyebut projek itu akan tetap disegerakan, walau semakan semula dilakukan terhadapnya.

Semalam ketika berucap di Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK 2022) di Putrajaya, beliau sekali lagi mengulangi perkara yang sama.

Katanya, melalui proses tender terpilih untuk cadangan projek rancangan tebatan banjir (RTB) itu akan membolehkan penjimatan RM1.8 bilion kepada kerajaan.

Menurut Anwar, peruntukan RM15 bilion untuk RTB menerusi rundingan terus tanpa tender menyebabkan kos projek itu melambung tinggi.

Justeru, tambahnya, Kementerian Kewangan (MOF) diarah berunding semula dengan syarikat berkaitan untuk perlaksanaan proses tender terpilih.


“Bayangkan RM1.8 bilion boleh diselamatkan dari projek bernilai RM15 bilion.


“Ini isu tata kelola yang baik, pimpinan harus pastikan jangan ada ketirisan, ini bukan soal politik tetapi soal rakyat.

“RM1.8 bilion kalau dipulangkan kepada penjaja, bayangkan…,”ujarnya lagi.

Sebagai makluman, projek tebatan banjir yang dilaksanakan secara runding terus itu adalah di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Menterinya ketika itu ialah Tuan Ibrahim Tuan Man.

Nama kementerian itu bagaimana ditukar kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim selepas Anwar menjadi Perdana Menteri.

Menterinya kini ialah Nik Nazmi Nik Ahmad.

Berkaitan projek tersebut dan berikutan Anwar telah menyebutnya beberapa kali, banyak isu kini timbil dan menjadi pertanyaan rakyat untuk mengetahui kebenarannya.

Antaranya:-

1. Apa nama syarikat atau syarikat-syarikat yang dipilih secara runding terus dalam projek bernilai RM15 bilion itu?

2. Kenapa dilaksanakan secara runding terus?

3. Bagaimana kos projek itu boleh jadi sehingga RM15 bilion?

4. Bagaimana setelah kerajaan baru mengambil alih, kosnya dapat dijimatkan sehingga RM1.8 bilion?

5. Kos apa RM1.8 bilion tersebut?

Melainkan jika Tuan Ibrahim, bekas Menteri Alam Sekitar dan Air sedang bercuti dan tidak berada di dalam negara ketika ini, adalah penting untuk beliau segera tampil memberi penjelasan dan menjawab semua persoalan berbangkit itu.

Jangan biarkan rakyat tertanya-tanya dan meneka-neka, terutama bagaimana wang kerajaan RM1.8 bilion dapat dijimatkan itu.- ShahbudinHusin 23/12/2022.