Parti politik hentikan main isu perkauman, tumpu kebajikan rakyat




 Parti parti politik di Malaysia perlu lebih bertanggungjawab dalam mengendalikan sokongan rakyat ke atas mereka.



Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Setiawangsa, Muhammad Azha Salahudin, parti politik terutama pembangkang tidak perlu meneruskan agenda kempen pilihan raya selepas 19 November 2022.



Katanya, selepas kerajaan dibentuk tugas parti politik dan penyokongnya ialah memastikan negara maju ke hadapan, bukannya meneruskan permainan politik perkauman dan membongsaikan minda rakyat.



"PRU15 telah melabuhkan tirai dengan menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 mengetuai kerajaan perpaduan seperti yang dititahkan oleh Yang DiPertuan Agong untuk membina semula kestabilan politik



"Namun ada segelintir kumpulan yang tidak bertanggungjawab mula memainkan isu dan sentimen perkauman dengan niat mencetuskan huru-hara dan ketidakstabilan.



"Kita percaya sentimen perkauman ini telah menjadi peluru terakhir yang dimainkan oleh gabungan parti yang kalah akibat kekecewaan mereka kerana gagal mengekalkan kuasa," katanya dalam satu kenyataan.



Dalam pada itu, hal yang lebih merbahaya, kata Azha adalah kandungan kempen perkauman telah menular termasuk dalam kalangan anak muda, malah yang masih di bangku sekolah.



Katanya, tidak wajar gambar dan klip video yang berunsur provokasi digunakan sebagai modus operandi untuk mempengaruhi minda anak muda dengan alasan perjuangan demi kaum dan agama.



"Sekiranya api perkauman ini tidak dipadamkan, kita risau generasi muda yang kurang pengetahuan tentang sejarah (negara berbilang kaum) akan mudah terpengaruh," ujar Azha.



Namun beliau bersyukur tindakan pantas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk mengekang ancaman keselamatan telah meredakan sedikit api perkauman yang memuncak.



"Oleh itu, sudah tiba masanya Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar memberi fokus sepenuhnya untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat dan mengembalikan semula kestabilan politik negara.



"Rakyat menderita akibat kegagalan kerajaaan yang lalu dan sekarang adalah masa melaksanakan agenda reformasi dan mengembalikan semula kegemilangan negara yang pernah dikecapi suatu waktu dahulu," katanya lagi.


No comments: