HANYA UNDANG2 JALAN TERBAIK TANGANI FITNAH DAN PEMBOHONGAN, TERUTAMA YANG MENGGUNA NAMA ISLAM

 

Setakat ini sekurang-kurangnya dua pemimpin Pas sedang disiasat polis kerana fitnah jahat mereka erhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan mengeluarkan kenyataan yang mengancam keharmonian awam.

Ahli Parliman Baling, Hassan Saad disiasat kerana menuduh Anwar sebagai ejen Israel.

Presiden Pas, Hadi Awang turut disiasat kerana melemparkan tuduhan bahawa PH mempromosi Islamofobia di negara ini.

Calon PN Padang Serai, Azman Nasruddin pula disiasat kerana mengeluarkan kenyataan mendakwa kerajaan perpaduan sekarang yang penubuhannya diilhamkan oleh Agong sebagai “kerajaan zina”.

Semua tindakan itu adalah susulan arahan Anwar kepada pihak polis agar mengambil tindakan segera terhadap mereka yang membuat fitnah atau mengeluarkan kenyataan keterlaluan sehingga boleh mengancam keharmonian negara.

Berikutan tiga siasatan itu, adalah dijangka lebih ramai akan disiasat atau ditangkap dalam hari-hari mendatang ini.

Ini berikutan, jika diperhatikan, terutama Pas dan mereka yang berkaitan dengannya, begitu ghairah sejak perlantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ini mengeluarkan pelbagai kenyataan jahat, fitnah dan pembohongan terhadap Perdana Menteri dan juga kerajaan.

Mereka seolah-olah tidak dapat menerima hakikat kegagalan menjadi kerajaan, hilang jawatan dan tiba-tiba tiada lagi gaji bulanan masuk ke dalam akaun bank masing-masing.

Mereka seolah-olah jadi sasau dan meracau sehingga tergamak menuduh Perdana Menteri sebagai ejen Israel serta mempersenda Agong dalam hal perlantikan Anwar.

Dalam hal ini, eloklah pimpinan Pas beristighfar banyak-banyak, sentiasa berwuduk dan kerap bersembahyang agar jiwa lebih tenang dalam menerima kekalahan.

Janganlah menerima kekalahan dan kegagalan menjadi kerajaan dengan tindakan fitnah dan pembohongan sehingga boleh menggugat keharmonian negara dan lupa dosa serta pahala.

Tindakan Anwar mengarahkan pihak polis untuk bertindak tegas dalam hal ini adalah langkah terpuji dan ia mesti disusuli dengan pendakwaan, seterusnya hukuman jika terbukti ada kesalahan dilakukan, tanpa mengira siapa mereka berkenaan.

Jangan dibiarkan fitnah dan pembohongan terus bertebaran, terutama oleh pihak berwajah Islam dan menggunakan nama Islam dalam gerakan sehariannya.

Penebar fitnah, pembawa cerita bohong dan mereka yang bermulut jahat ini harus dihentikan perbuatan jahat mereka dan agar mereka tahu negara ini ada undang-undang yang mengawalnya.

Undang-undang dan penguatkuasaan adalah benteng terbaik menangani kejahatan tersebut kerana kecanduan mereka melakukan perbuatan itu tidak mampu diatasi dengan sekadar penjelasan atau jawapan yang berfakta semata-mata.

Apa juga jawapan dan penjelasan yang diberi, mereka akan sentiasa memutar-belit dan tidak mempercayainya.

Dengan itu, hanya tangkapan, lokap polis, mahkamah, denda atau penjara saja jalan terbaik untuk membendung semua kejahatan itu.

Selepas pilihan raya berakhir dan setelah kerajaan perpaduan terbentuk atas titah Agong, semua pihak seharusnya berlapang dada dan berjiwa dingin untuk lebih memikirkan kepentingan negara daripada hawa nafsu serta kepentingan politik sendiri.

Kepada Anwar yang kini menerajui kerajaan dan pihak polis yang menguatkuasakan undang-undang, teruskanlah dengan langkah tegas itu demi masa depan negara ini.

Jangan lagi dibagi muka kepada penyebar fitnah dan pembohongan itu, terutama jika melibatkan kaum serta agama dan yang boleh mengancam keharmonian dan menjejaskan kehidupan rakyat berbilang kaum.

Sudah sampai masanya ia wajib dihentikan dan Anwar jika terus tegas dalam hal ini, percayalah, majoriti rakyat akan berdiri teguh di belakangnya. – ShahbudinHusin 30/11/2022.



No comments: